SKOP
Rakyat Malaysia Wajib Cuba Burger Nasi Lemak Ayam Rendang!
Beberapa minggu lepas heboh diperkatakan dalam kalangan orang ramai mengenai Burger Nasi Lemak yang diperkenalkan McDonalds Singapura. Sememangnya kombinasi makanan tradisi tempatan itu dengan hidangan kegemaran barat merupakan sesuatu yang menarik perhatian ramai.
Namun, timbul persoalan lain iaitu mengapa hanya rangkaian McDonalds di Singapura sahaja yang menawarkan burger istimewa tersebut? Pada waktu negara bakal menyambut Hari Kebangsaan pada hujung bulan ini, pihak McDonalds di Malaysia tidak pula menawarkan burger yang berasaskan hidangan popular tempatan itu. Sebaliknya, mereka menawarkan hidangan menu baru iaitu Burger Pedas Korea.
RAIKAN HARI KEMERDEKAAN DI MYBURGERLAB
Bagaimanapun, rakyat Malaysia yang ingin mencuba hidangan tersebut tidak perlu turun ke selatan tanah air menyeberangi sempadan. Rangkaian restoran tempatan myBurgerLab akan mula menawarkan Burger Nasi Lemak Ayam Rendang sebagai menu baru mereka bermula esok! (4 Ogos).
Burger tersebut menampilkan roti burger arang, pati ayam goreng Thai yang ranggup, ikan bilis, telur goreng, mentega kacang, sambal, rendang dan timun jeruk. Ianya akan dijual pada harga RM18.80. Sebagai perbandingan, harga Burger Nasi Lemak yang ditawarkan di McDonalds Singapura adalah RM18.58 (S$5.95) bagi hidangan ‘a la carte’.
Dalam satu temuramah Channel NewsAsia bersama Pengarah Urusan myBurgerLab, Renyi, mengakui bahawa tindakan mereka menawarkan burger baru tersebut dipengaruhi sedikit sebanyak oleh menu terbaru McDonalds Singapura itu.
Resipi bagi Burger Nasi Lemak Ayam Rendang tersebut sebenarnya telah dihasilkan semenjak tiga tahun yang lalu tetapi hanya dilancarkan sekarang atas permintaan yang memberangsangkan daripada orang ramai.
Mereka telah berusaha untuk menghasilkan sebuah burger yang diinspirasikan daripada nasi lemak dan bukannya satu hidangan nasi lemak yang kelihatan seperti burger. Atas sebab itulah tidak terdapat sebarang nasi di dalam hidangan burger tersebut.
Sambutan bulan Kemerdekaan juga dapat dilihat pada kempen promosi myBurgerLab apabila mereka memuatnaik gambar Burger Nasi Lemak Ayam Rendang tersebut dengan latar belakang bendera Malaysia pada laman sosial Twitter pada 28 Julai yang lepas. Di dalam gambar tersebut juga tertulis ucapan: “Wahai Singapura, percubaan yang baik, tetapi…”
Burger Nasi Lemak Ayam Rendang tersebut akan ditawarkan di ke semua cawangan myBurgerLab sehingga 31 Ogos ini. Pastikan anda mencubanya, demi menunjukkan semangat patriotik pada tanah air tercinta!
Must-Watch Video