Hanya tinggal empat hari, cuti sekolah akan bermula. Ibu bapa sudah pasti mahu merancang aktiviti menarik untuk anak-anak.

Bagi mereka yang berkemampuan boleh memilih pergi melancong ke luar negara tetapi jika tidak, anda masih boleh berkunjung ke tempat menarik atau bercuti dalam negara.

Sempena cuti sekolah, orang ramai khususnya rakyat Malaysia tidak seharusnya melepaskan peluang berkunjung ke Expo Negaraku 2017 yang mula diadakan sejak 15 November lalu sehingga 15 Disember ini.

Mungkin anda pernah berkunjung ke Muzium Negara atau pelbagai pameran lain sebelum ini tetapi percayalah, ekspo kali ini suatu yang berbeza untuk anda saksikan dan paling penting, ia cukup menyeronokkan buat pengunjung kanak-kanak.

Program yang dianjurkan Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri ini dijangka memberi tarikan pada ramai pengunjung termasuk pelancong asing dengan konsep pameran yang lebih menghiburkan dengan lima kubah besar berwarna putih.

Pengunjung bukan saja diberi pendedahan mengenai sejarah pembangunan Malaysia tetapi menyelami inspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan paling penting menyemai semangat patriotisme dalam kalangan rakyat negara ini.

10 Fakta menarik Expo Negaraku 2017 yang patut anda tahu:

1. Kat mana?

Tidak perlu bertolak atau tunggu lama untuk masuk kerana lokasinya memang cukup besar untuk memuatkan ramai pengunjung.


Lokasi strategik di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur memudahkan pengunjung untuk datang sama ada menaiki pengangkutan awam iaitu LRT (stesen berhampiran Masjid Jamek), bas dan juga parkir untuk kereta disediakan di tingkat bawah lokasi ekspo tersebut.

2. Berbaloi ke?

Pengunjung dapat merasai seperti pengalaman sebenar berada di menara kawalan lapangan terbang.


Pameran berbaloi untuk dikunjungi kerana pengunjung akan merasai pengalaman sama seperti mana mengunjungi ekspo di luar negara yang menayangkan pelbagai pameran interaktif termasuk simulator membawa bas RapidKL dan keretapi di dalam kubah kedua serta tayangan slaid yang menghiburkan.

3. Nak tengok tapi cuaca panas!

Cuaca panas bukan alasan untuk tidak berkunjung ke Expo Negaraku 2017 sebab di dalam kubah memang sejuk.


Jangan bimbang cuaca panas atau terpaksa bersesak dengan pengunjung lain kerana situasi di sana dikawal dengan baik oleh pertugas dan sukarelawan. Semua pengunjung mudah mengikuti laluan masuk ke setiap lima kubah yang disediakan tanpa perlu bertolak atau berebut tempat duduk. Bagi ibu bapa yang membawa anak kecil di dalam kereta sorong diberi keutamaan untuk masuk dahulu.

4. Berapa harga tiket?

Ia suatu yang unik apabila pengunjung boleh bergambar dengan penari kebudayaan secara maya.


Tiada bayaran dikenakan. Sesiapa saja boleh masuk secara percuma. Jika anda lihat orang ramai beratur untuk masuk, jangan bimbang kerana anda tidak perlu mendaftar apa-apa untuk masuk. Tunggu sekejap untuk masuk ke kubah 1. Ada cenderamata khas Expo Negaraku 2017 seperti baju T, topi, 'fridge magnet', 'keychain' manakala air mineral juga dijual.

5. Pameran? macam bosan je.

Informasi dipamerkan secara interaktif dengan efek lampu, muzik dan simulator.

Ekspo ini bukan hanya pameran semata-mata tetapi mengajak pengunjung berfikir sejenak mengenai sejarah pembangunan negara. Menariknya, informasi yang disampaikan menerusi props, suara latar, muzik dan visual menerusi pancaran laser membuatkan pengunjung kagum khususnya menjadi rakyat Malaysia.

6. Berkenalan dengan Alia.

Paparan video pendek kisah Alia bersama efek khas membuatkan pengunjung terhibur.


Bermula di kubah 1, pengunjung akan dipertontonkan dengan video pendek mengenai kisah seorang kanak-kanak perempuan bernama Alia yang mengidap disleksia. Ia bukan cerita kosong atau drama swasta di televisyen tetapi membawa pengertian mendalam pada pengunjung agar lebih memahami bakat kanak-kanak istimewa selain berkenyakinan dalam mengasah bakat sendiri. Percayalah kisah yang dipaparkan tidak membosankan tetapi mempunyai kejutan di penghujung ceritanya!

7. Bagaimana keadaan dalam kubah?

Pengunjung boleh duduk dan baring secara santai menyaksikan persembahan slaid dalam kubah Expo Negaraku 2017.

Jangan bimbang kerana suasananya sangat selesa. Banyak kerusi disediakan dan paling menarik ada bantal besar untuk pengunjung baring sambil bersantai bersama keluarga mahupun pengunjung lain di dalam kubah 5 untuk menyaksikan persembahan slaid.

Paling penting, suasana di dalam memang sejuk sebab ada penghawa dingin dan ada juga efek khas ketika menyaksikan drama Alia.

8. Kanak-kanak paling 'best'!

Pengunjung boleh menaiki keretapi LRT dalam kubah.


Pengunjung kanak-kanak pastinya paling gembira sebaik berkunjung ke ekspo ini kerana mereka akan teruja melihat tayangan slaid, tarikan lampu pameran dan bunyi muzik yang mengujakan.

Malah, mereka juga terkejut apabila menaiki keretapi LRT dalam kubah kedua sebelum singgah di lapangan terbang menyaksikan pesawat mendarat. Kanak-kanak juga boleh duduk di kerusi dengan mikrofon seolah berada di menara kawalan untuk membantu pesawat mendarat dengan selamat. Suasananya seperti sebenar!

9. Boleh ke ambil gambar?

'Props' hutan cukup menarik untuk pengunjung mengambil gambar.


Memang ekspo ini untuk semua pengunjung jadi jangan lepaskan peluang berswafoto atau bergambar di pelbagai sudut pameran. Ada juga skrin gergasi bunga-bunga yang berguguran yang membawa kisah penjimatan air. Tak minat dengan bunga boleh berkunjung ke kubah 4 ada suasana seperti berada dalam hutan sebenar.

Menariknya, ada 'air terjun' setinggi 10 meter dan pengunjung dapat berjalan di atas jambatan kayu sambil menikmati permandangan alam semula jadi di sekitarnya. Memang cantik permandangan di sini dan rugi jika tidak bergambar.

10. Pernah tengok telefon lama?

Pengunjung seolah mengimbau nostalgia apabila melihat semula telefon lama yang dipamerkan pada Expo Negaraku 2017.


Mungkin dalam kalangan mereka yang berusia 40 tahun ke atas pernah menggunakan atau melihat telefon lama yang pernah digunakan di negara kita sejak zaman 60-an sehingga 90-an.

Bagi kanak-kanak, mereka pastinya kagum dengan hampir 20 jenis telefon lama yang dipamerkan. Menariknya, telefon ini juga boleh berdering dan pengunjung boleh mendengar suara pemanggil.