SKOP

Sanggup Beratur Lebih 48 Jam Demi iPhone X

Hanafis Haris 03/11/2017 | 04:19 MYT

Selepas pelancaran iPhone 8 di seluruh dunia bulan lalu, penjualan peranti terbabit boleh dikatakan agak suram. Malah, ia agak lari daripada situasi yang kebiasaannya diterima daripada pengguna setia Apple.

Hari ini pula iPhone X mula dijual secara rasmi di 55 negara terpilih seluruh dunia dan Malaysia tidak tersenarai. Sedih tak?
Namun, apa yang menariknya penjualan kali ini, pengguna tegar Apple mula beratur panjang bagi mendapatkan peranti terbaru itu. Berbeza dengan sambutan terhadap iPhone 8 sebelum ini, nampaknya ramai yang sanggup beratur panjang untuk membelinya.
BERATUR SEJAK RABU LALU
Tradisi beratur untuk mendapatkan produk iPhone kembali muncul.
‘Fenomena’ iPhone X ini sebenarnya berlaku di Apple Store di Jalan Orchad, Singapura petang semalam. Berdasarkan gambar dimuat naik Yahoo Singapore, orang ramai kelihatan ‘membanjiri’ perkarangan Apple Store bermula jam 6 petang.
Menurut laporan Channel News Asia, terdapat enam individu yang mula beratur sejak Rabu lalu. Selain beratur untuk kegunaan diri sendiri, terdapat juga individu yang mengaku akan menjual unit iPhone X untuk mendapatkan keuntungan berganda.
Persoalannya, jika harga asal pun sudah mahal, berapa pula harga yang dijual individu terbabit?
Melihat pada fenomena ini, pengguna tegar iPhone ini sebenarnya mempunya beberapa sebab mengapa mereka sanggup beratur mendapatkan iPhone X. Ini antara alasan mereka yang dikenal pasti:
1. REKAAN BOSAN SEJAK IPHONE 6
Reka bentuk iPhone X akhirnya diubah 100 peratus.
Sejak ‘kelahiran’ model iPhone 6, rekaan iPhone tidak banyak berubah. Selain hampir menggunakan saiz paparan yang sama, ia juga dilihat tidak mengalami sebarang peningkatan drastik. Malah, pengguna terpaksa berdepan dengan tiga generasi iaitu iPhone 6, 6s dan 7.
Atas sebab itu, kemunculan iPhone X sangat dinanti-nantikan oleh pengguna setia mereka. Hadir dengan saiz 5.8 inci, rekaan skrin kali ini juga mengikut trend terkini dengan penggunaan bingkai bezel yang minima. Selain itu kerangka badan iPhone X kini menggunakan gelas pada bahagian depan dan belakang.
2. AKHIRNYA APPLE MENGGUNAKAN PANEL OLED
Tidak dinafikan panel skrin digunakan edisi iPhone sebelum ini antara yang terbaik pernah dihasilkan mereka. Namun, panel jenis diod pemancar cahaya organik (OLED) sebenarnya semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna.
Selain menghasilkan warna yang lebih terang dan jitu, ia juga mampu menjimatkan pengunaan bateri kerana tidak memerlukan tenaga untuk menghasilkan warna hitam.
3. MASA DEPAN FACE ID
Apple memberi kepercayaan sepenuhnya terhadap fungsi keselamatan Face ID.
Menerusi iPhone X, Apple memperkenalkan fungsi Face ID yang menggunakan lima ‘hardware’ baru iaitu 'ambient light sensor, proximity sensor, flood illuminator, dot projector' dan 'infrared camera'.
Dengan penggunaan kelima sensor ini, iPhone X dapat mengecam wajah anda sekali gus menjadikan ia sebagai fungsi keselamatan pada telefon berkenaan. Bagaimanapun, dengan kehadiran fungsi ini pengguna terpaksa melepaskan fungsi pengimbas cap jari 'Touch ID'.
4. PENGECASAN TANPA WAYAR
Jika di Malaysia, penggunaan meja makan yang mampu mengecas tanpa wayar masih belum banyak.
Rekaan gelas dibelakang pada iPhone X bukan hanya sekadar rekaan semata-mata. Peranan sebenarnya adalah untuk fungsi pengecasan tanpa wayar. Apa yang anda perlu ada pengecas Qi yang bersesuai dengan iPhone X. Jika di luar negara, kebanyakan kafe menyediakan meja yang boleh dicas tanpa menggunakan wayar.
5. ANIMOJI YANG 'COOL'
Fungsi ini bukanlah dianggap ‘killer feature’ bagi iPhone X tetapi penggunaan sensor kamera depan iPhone mampu menghasilkan 3D efek dan emoji beranimasi. Apple menyatakan teknologi TrueDepth pada kameranya mampu menganalisis 50 jenis pergerakan otot muka bagi menghasilkan 12 Animoji.
Di Malaysia, Iphone X dijangka dijual pada harga RM5,146 untuk 64GB. Namun, masih belum ada tarikh rasmi bagi pasaran Malaysia buat masa ini. Seperti biasa, anda berkemungkinan dapat melihat iPhone X dijual lebih mahal menerusi atas talian.

#Iphone #iPhone