Skop
Sebelum Makan Kurma, Buat Tiga Langkah Penting Ini Dahulu
Ketika umat Islam menjalani ibadah puasa, timbul persoalan dalam kalangan pengguna mengenai gambar buah kurma mengandungi lipas yang menjadi tular di media sosial. Apa yang menarik perhatian netizen adalah makanan itu didakwa dibeli dari satu jenama produk kurma popular dan ia menimbulkan kebimbangan pada pengguna untuk membelinya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius isu tersebut dan bertindak meningkatkan pemantauan ke atas produk kurma di pasaran agar ia selamat dimakan pengguna di negara ini.
“KKM ingin menasihati pengguna dan orang ramai untuk menggunakan hak dan kuasa pembeli dalam memastikan produk makanan yang dibeli adalah bersih dan selamat. Pengguna juga disaran membaca label serta mengamalkan lihat, hidu dan rasa sebelum menikmati makanan bagi mengelakkan memakan makanan yang telah rosak atau tercemar.
“Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat atau melalui laman sesawang di http://moh.spab.gov.my atau laman Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq jika terdapat sebarang aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.