Memasuki tahun baru pastinya ramai sudah mula merancang percutian dan misi jelajah ke negara yang diimpikan.

Pastinya, selain pemilihan lokasi menarik, kos bagi penginapan dan tiket penerbangan menjadi aspek utama untuk melancong.

Seperti biasa, selain membuat kajian dan melihat 'itenary' pelancongan di blog dan Facebook, anda juga boleh menjadikan Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) sebagai lubuk untuk mendapat maklumat terperinci.


PENYERTAAN 242 AGENSI PELANCONGAN

Setiap tahun MATTA Fair pasti ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia.
Berita baik bagi anda yang menantikan MATTA Fair ini, himpunan pelbagai pakej pelancongan ini akan berlangsung pada 16 sehingga 18 Mac depan.

Difahamkan, pameran kali ini akan membabitkan penyertaan gerai sebanyak 1,322 membabitkan 242 syarikat agensi pelancongan.

Ketua Pegawai Eksekutif MATTA, Phua Tai Neng, berkata MATTA Fair menjadi acara tahunan paling dinanti bagi mereka yang gemar melancong.

Jelasnya, pakej dan tawaran menarik menjadi MATTA Fair sebagai antara pilihan pengunjung.

"Ruang pameran untuk pakej pelancongan dalam negara adalah yang terbesar disediakan pada MATTA Fair.

"Terdapat banyak tempat menarik dan cantik di Malaysia yang mungkin anda tidak pernah tahu untuk dikunjungi,” katanya menerusi Berita Harian.

Orang ramai yang ingin berkunjung ke MATTA Fair juga dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam bagi mengelak kesesakan.

MUSIM PANAS PALING LARIS

Berdasarkan pemantauan pihak MATTA Fair, pengunjung yang datang selalunya memilih untuk membeli pakej percuti pada musim panas.

Antara tips yang mungkin anda boleh aplikasikan ketika berkunjung adalah dengan mengenal pasti terlebih dahulu lokasi yang mahal. Sesetengah negara menjadi mahal berikutan keadaan cuacanya.

Menurut Airlines Reporting Corporation (ARC), Januari adalah musim paling sesuai untuk melancong ke Jepun manakala Mac anda boleh mempertimbangkan untuk bercuti ke Hong Kong, Singapura, Australia dan New Zealand.

Bagi November, Thailand dan Korea menjadi pilihan manakala Disember pula, apa kata anda memilih melancong ke China.