Anda mungkin pernah dengar kafe coklat di luar negara tetapi tidak pernah pula di sini. Kebanyakannya di buka di luar negara seperti Cannon Beach Chocolate Cafe dan Moonstruck Chocolates di Portland, Ganache Chocolate Melbourne serta banyak lagi di serata dunia.

Namun buat kali pertamanya, Isetan The Japan Store tampil dengan konsep ini di Malaysia bagi memberikan pengalaman menikmati coklat yang berlainan kepada setiap penggemarnya.

Terletak di pusat beli-belah Lot 10, Nayuta Chocolatasia (Nayuta) adalah kafe dan butik coklat pertama seumpamanya di Malaysia dan Asia.

Pelanggan boleh singgah makan di situ atau 'tapau' coklat kegemaran mereka di Nayuta, Lot 10, Kuala Lumpur.

Dengan tagline 'By Asians, For Asians', penghasilan produk Nayuta amat dititikberatkan dan mereka hanya menggunakan biji koko mentah daripada empat buah negara membabitkan Vietnam, Filipina, Indonesia serta Malaysia.

Tidak seperti coklat diperbuat di Eropah yang lebih sinonim dengan rasa pahit, Nayuta mencipta coklat mereka dengan gabungan rasa susu, karamel dan tekstur yang lembut demi memenuhi citarasa pelanggan Asia.


RASA BEZA IKUT NEGARA

Penggemar coklat boleh merasai perbezaan koko dari setiap negara iaitu Malaysia, Vietnam, Indonesia dan Filipina.

Di Nayuta, anda boleh menikmati kira-kira 47 perisa coklat daripada tiga kategori berbeza. Ia merangkumi 16 perisa untuk koleksi Tablets, 24 jenis bagi Bonbon Chocolates dan 7 daripada Casual Chocolates.

Antara perisa Tablets yang ditawarkan termasuk mangga, kelapa dan kacang gajus. Bentuknya sama seperti coklat bar jenama lain yang ada dipasaran.

Bonbom Chocolates pula boleh didapatkan dalam 24 perisa menarik seperti Lime, Pineapple, Sarawak Pepper, Sakura, Sesame, Passion Fruit, Yuzu dan banyak lagi.

Khabarnya bukan penggemar coklat juga boleh jatuh cinta apabila makan di Nayuta.

Melalui koleksi ini, anda boleh merasai perbezaan koko dari setiap negara menerusi coklat perisa Malaysia, Vietnam, Indonesia dan Filipina. Peratusan yang dipaparkan pada pembungkusan mewakili jumlah koko yang digunakan.

Bagi mereka yang kurang gemar dengan coklat, anda boleh mencuba makanan ringan yang disaluti coklat seperti kacang almond, kacang gajus, mangga, kelapa dan sebagainya.

Jangan risau, Nayuta bukan saja menawarkan coklat tetapi turut menyediakan pelbagai minuman yang kaya dengan koko, kek serta pencuci mulut lain.

Coklat yang dijual di Nayuta bukan saja enak dimakan tetapi mempunyai pembungkusan yang menarik.

HARGA COKLAT DI NAYUTA?

Kesemua coklat di Nayuta dijual pada harga RM6 sehingga RM70. Selain makan di situ atau 'tapau', pelanggan juga boleh mendapatkan hamper coklat untuk dijadikan sebagai hadiah atau buah tangan buat keluarga mahupun rakan.

Ini bukan kain batik tapi coklat daripada Nayuta.

Apa yang menariknya di Nayuta? Meskipun harga yang dikenakan 'sedikit' mahal tetapi hasil akhir coklatnya yang enak membuatkan pelanggan berpuas hati untuk membayarnya. Ia tidak terlalu manis dan teksturnya lembut serta mungkin pada individu yang tidak menggemari coklat boleh jatuh cinta padanya.

Di samping coklat, suasana kafe turut memainkan peranan penting. Nayuta sesuai dijadikan tempat untuk lepak bersama kawan-kawan khususnya pada waktu petang.