Skip to main content

Market Trends

Tanam Tembikai Sebagai Pendapatan Alternatif

tembikai.jpg

Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) melancarkan projek perintis tanaman tembikai sebagai tanaman sampingan kepada pengusaha ladang-ladang kelapa sawit yang sedang menjalani proses tanaman semula.

Projek perintis yang dijalankan di kawasan seluas 125.18 hektar di Felda Palong 21 bertujuan mewujudkan mekanisme pendapatan alternatif kepada golongan peneroka.

Pengerusi FGV, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, projek perintis itu menjadi bukti komitmen FGV membantu pembangunan kehidupan masyarakat khususnya peneroka Felda.

"Kami sedar proses tanaman semula akan menyebabkan pemilik ladang kehilangan hasil untuk tempoh kira-kira tiga tahun dan dalam masa sama menanggung kos tanam semula.

"Oleh itu kami melaksanakan pelbagai projek perintis tanaman sampingan seperti ini. Hasil tanaman ini akan menjana pendapatan dan secara tidak langsung mereka dapat mengurangkan kos penjagaan ladang ketika dalam keadaan pramatang," katanya.

Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad melakukan gimik tanaman tembikai untuk projek perintis FGV.

Mohd Isa dalam pada itu menjelaskan tembikai antara buah tropika berada di tangga ketiga dalam senarai buah-buah yang boleh dikomersialkan di negara ini.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad menyatakan projek perintis itu akan membuka peluang kepada pengusaha pertanian dan penduduk setempat dengan menyediakan tanah untuk mereka menjalankan pertanian sampingan berintegrasi itu secara kontrak.

"Penyediaan tanah pertanian untuk jangka masa pendek ini boleh dikatakan program tanggungjawab sosial korporat FGV kepada penduduk setempat yang berminat untuk menjalankan pertanian tetapi menghadapi kekangan tanah. Daripada tanah terbiar sementara menunggu sawit matang, lebih baik kita mengoptimakan penggunaannya," katanya.

Must Watch Video