Sejak kebangkitan media sosial, penggunaan medium ini sebagai saluran pemasaran semakin menarik perhatian ramai.

Peniaga kecil-kecilan mahupun yang sudah mempunyai empayar turut sama menjadikan platform media sosial sebagai teknik pemasaran mereka.

Ada yang menyuntik lakonan ‘propaganda’ dan tidak kurang juga yang menggunakan elemen menjengkelkan seperti dalam bentuk video mahupun sebuah lagu.

Itu situasi di Malaysia dan lain pula ceritanya di Switzerland kerana seorang peniaga kebab ini telah menggunakan satu kaedah pemasaran yang disifatkan pemikiran di luar kotak iaitu jauh dari bumi!

KEBAB PERTAMA BERLEPAS KE ANGKASA

Ade yang ingin menikmati kebab pada paras ketinggian ini?
Apa yang dilakukan ahli perniagaan Pascal Leuthold adalah dengan menerbangkan kebab pada ketinggian 38,000 meter menggunakan belon cuaca.

Ini menjadikan ia sebagai kebab pertama yang dilepaskan ke angkasa.

Malah, video yang memaparkan kebab itu terbang ke angkasa sedang hangat diperkatakan netizen!

Menurut Pascal, idea itu tercetus tiga bulan lalu ketika dia bersama rakannya cuba memikirkan cara terbaik untuk memperkenalkan cawangan terbaru mereka.

“Akhirnya timbul idea untuk menerbangkan kebab ke angkasa,” katanya.

PERSEDIAAN TIGA BULAN

Jelasnya, persediaan untuk menerbangkan kebab itu dilakukan hampir tiga bulan dan alat yang digunakan adalah belon cuaca.

Tempoh yang diambil untuk kebab berkenaan terbang lebih daripada dua jam sebelum ia kembali dijatuhkan ke permukaan bumi. Menariknya, kebab terbabit ditemui dalam keadaan sejuk dan beku.

"Kami fikir ini cara yang lebih baik untuk mengumumkan rangkaian baru kami kepada dunia. Melancarkan salah satu kebab kami ke angkasa,' katanya.

Anda boleh lihat kebab ini dilepaskan ke angkasa menerusi video berdurasi 40 saat ini.