Tiada negara dalam dunia ini mempunyai dasar pendidikan seperti di Malaysia yang menyediakan pelbagai platform untuk setiap belianya melanjutkan pelajaran tanpa mengira keputusan akademik mereka.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, hanya Malaysia menyediakan platform untuk pelajar yang tidak cemerlang dalam bidang akademik untuk meneruskan pelajaran termasuk dalam bidang kemahiran.

"Sebagai contoh institusi pendidikan, Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyediakan pelbagai latihan kemahiran untuk pelajar tanpa mengira keputusan peperiksaan di sekolah.

"Jika ada belia yang kata mereka tiada peluang (melanjutkan pelajaran), mereka mempunyai fikiran yang daif," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Jazlan menyatakan tiada kerajaan yang sempurna di negara ini termasuk Malaysia, maka tiada sebab untuk mana-mana pihak berterusan mengecam kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, pelbagai perkara yang tidak sempurna boleh dilihat dalam sesebuah negara tetapi apa yang boleh dilakukan kerajaan yang memerintah adalah memberi yang terbaik untuk rakyatnya.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa pelajar yang belajar di institusi pendidikan seperti MARA sebenarnya telah pun memperoleh 'biasiswa' daripada kerajaan kerana kos pembelajarannya yang amat rendah.