Tiga anggota polis yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 23 Mei lalu bakal berdepan tindakan tatatertib sekiranya sabit kesalahan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Chuah Ghee Lye, berkata seorang berpangkat Koperal dan dua Lans Koperal berusia 26 sehingga 28 tahun akan ditentukan kedudukan mereka selepas menerima laporan penuh siasatan dari SPRM.

Beliau berkata, buat sementara waktu kesemua mereka akan dipindahkan ke unit lain sebelum sebarang tindakan lanjut di ambil termasuk tindakan pendakwaan di mahkamah.

"Sekiranya sabit kesalahan, tindakan buang kerja akan diambil selain ingin menasihati semua pegawai dan angota polis tidak terbabit dalam sebarang gejala rasuah," katanya ketika ditemui semasa lawatan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) sempena Sambutan Hari Polis ke-210, hari ini.

Dalam kejadian jam 11 malam itu sewaktu mereka bertugas, tertuduh didakwa meminta rasuah RM500 daripada seorang pemandu kereta yang melakukan kesalahan memandu kenderaan dengan cukai jalan tamat tempoh. Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau 5 kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.