Meskipun pelbagai tohmahan dan pandangan negatif dilemparkan segelintir pihak terhadap UMNO, jasa parti itu dalam memperjuangkan kemerdekaan dan membela nasib masyarakat Melayu tidak seharusnya dilupakan.

Pengerusi Tetap Wanita UMNO Malaysia, Tan Sri Napsiah Omar meminta orang Melayu khusus golongan muda mengenang perjuangan UMNO untuk memastikan perjuangan parti itu terus kukuh. Beliau menyatakan sejarah parti ini membuktikan UMNO terlalu banyak jasa kepada masyarakat di negara ini khususnya orang Melayu dan berharap perjuangan parti ini tetap diteruskan.

Namun, Tokoh Melayu Terbilang UMNO 2017 ini juga bersedih apabila melihat segelintir pihak mempertikai perjuangan UMNO pada hari ini.

“Bukan senang kita nak merdeka, bukan senang orang-orang dulu nak hidupkan UMNO dan berjuang untuk UMNO. Mereka berikan apa sahaja kepada UMNO untuk menghidupkan perjuangan dan mahu membebaskan Tanah Melayu dari penjajah,” katanya seperti dilaporkan UMNO-Online.

Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-71 yang diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada malam tadi berlangsung dalam suasana meriah bersama 150,000 penyokong parti itu yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai presiden parti..

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatakan semangat juang yang tinggi yang ditunjukkan penyokong UMNO itu dikongsi bersama tiga juta ahli parti itu di seluruh negara yang dianggap sebagai sambutan yang luar biasa.