Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
SKOP

Vans X Pa'din Musa 'Sold Out'! Ini 10 Perkara Anda Perlu Tahu Mengenai Edisi Khas Ini

Hanafis Haris 05/12/2017 | 03:53 MYT
Kasut edisi 'signature colorway' ataupun edisi khas Pa’din Musa telah pun dilancarkan beberapa hari lalu dan peminat papan selaju Malaysia dikatakan sanggup beratur seawal jam 8 pagi.
Sambutan hangat kasut khas ini menjadikan ia antara fenomena baru bagi peminat Pa’din dan juga penggemar kasut Vans di negara ini.
​Tambah mengagumkan kasut terbabit dikatakan habis dijual pada hari pelancarannya pada Ahad lalu di kebanyakan kedai di Pulau Pinang hinggalah ke Singapura.
Bagi anda yang terlepas pandang atau tidak tahu apakah kisah sebenar di sebalik kasut edisi khas ini, Rojak Daily Skop! senaraikan 10 perkara anda patut tahu mengenai edisi khas Pa’din Musa ini:
1. RAKYAT MALAYSIA PERTAMA
Individu pertama di Malaysia yang mempunyai kasut edisi khas keluaran Vans.
Pa’dni Musa atau nama sebenarnya Ahmad Fadzil Musa, 41 menjadi rakyat Malaysia pertama yang bekerjasama dengan Vans bagi menghasilkan kasut signature. Kolaborasi ini juga menjadikan Pa’din sebagai peluncur profesional pertama di Asia Tenggara yang mempunyai kasut 'signature colorway'!
2. PENGIKTIRAFAN
Vans menyatakan mereka memilih Pa’din bagi meraikan pencapaian beliau dalam bidang ‘skateboarding’. Usaha ini merupakan sebahagian kempen Vans dalam mengiktiraf skateboarder tempatan dan menyokong pembangunan sukan skateboarding tempatan.
3. PEMINAT MOTOSIKAL
Sisi lain Pa'din Musa.
Kasut Vans Pa’din boleh didapati dalam dua variasi iaitu Old School Pro dan Authentic Pro. Warna yang digunakan untuk kasut ini ialah sitrus, hitam dan kelabu yang diinspirasikan daripada jersi lumba vintaj. Untuk makluman, Pa’din juga peminat motosikal dan turut mempunyai bengkel sendiri.
4. PROSES PEMBUATAN
Proses rekaan dan penghasilan kasut ini juga mengambil masa dua tahun. Segala perincian baik luar dan dalam dihasilkan dengan penuh teliti. Pa’din juga menyatakan proses paling lama adalah untuk menentukan warna yang paling tepat dan sesuai.
5. REKA BENTUK
Menurut Astro Awani, rekaan kasut khas ini secara dasarnya dilengkapi sentuhan yang mencerminkan peribadi dan pengalaman Pa’din. Bahagian tepi kasut dipadankan dengan corak tayar motosikalnya manakala tapaknya dengan corak waffle pula melambangkan penghadang jalan raya.
6. TULISAN DUA ANAK LELAKI
Antara elemen sentimental pada kasut ini.
Elemen paling sentimental adalah pada bahagian dalam kasut ini yang menggunakan tulisan dua anak lelaki padin iaitu Fahim dan Fayadh. Menariknya ayat yang ditulis oleh kedua-dua anak kecil ini adalah pantun. Ia kemudian dicetak ke dalam kasut ini.
7. PANTUN
Tulisan tangan yang dicetak pada bahagian dalam kasut ini menjadikan ia lebih istimewa.
Pantun pertama berbunyi, 'Budak-budak bermain tombak, Tombak diikat dengan rantai, Kalau takut dilambung ombak, Jangan berumah di tepi pantai'. Pantun kedua pula adalah ‘Pulau Pandan jauh ke tengah, Gunung Daik bercabang tiga, Hancur badan dikandung tanah, Budi yang baik dikenang juga’.
8. IMEJ MALAYSIA
Pa’din mahu elemen pantun ini menjadi ikonik sekali gus menggambarkan identiti Malaysia. Siapa saja membeli kasut ini akan mengingati Malaysia. Malah, cetakan tulisan tangan daripada kedua anaknya menjadikan ia lebih tampak asli.
9. DOKUMENTARI KHAS
Semasa pelancaran kasut berkenaan, Vans turut menayangkan filem dokumentari bertajuk Demi yang mengisahkan perjalan hidup Pa’din. Dokumentari ini dihasilkan dengan kolaborasi antara Tapau TV dan Vans Malaysia. Demi menceritakan perjalanan Pa’din dari awal sehinggalah kini.
10. JUAL BALIK
Selepas kasut khas ini dilancarkan, terdapat dakwaan mengatakan ada individu yang menjual kasut tersebut dengan harga lebih mahal daripada pasaran mencecah sekali ganda. Meskipun ada peminat yang marah terhadap individu yang mengambil kesempatan sebegini tetapi hakikatnya kasut ini mempunyai permintaan tinggi. Begitu hebat impak Pa’din terhadap peminat Vans di luar sana.
Mungkin Vans mempunyai perancangan untuk menghasilkan lagi kasut ini untuk 'cetakan kedua'. Apapun, syabas buat Pa'din!
#Fenomena #Fenomena