Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

[Video] Kerajaan Serius Tangani Ancaman Jenayah Siber Dibentang Ke Parlimen

K. Mala
09/06/2017 12:25 MYT

Bagi mengekang ancaman jenayah siber di Malaysia, satu akta khusus dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada sesi akan datang, sekali gus menunjukkan kerajaan amat serius dalam soal keselamatan siber.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan amat serius dalam soal keselamatan siber dan beliau juga sudah menyerahkan draf berkaitan akta itu kepada Peguam Negara semalam untuk penelitian secara terperinci dan ia akan dibentangkan oleh Jabatan Perdana Menteri.

"Apa yang lebih utama ialah pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang. Kerajaan juga amat serius dalam soal keselamatan siber. Ini penting bagi memantau sebarang usaha berkaitan dana digunakan sumber dalam atau luar bagi keganasan atau terbabit dalam Akta AMLA atau kesalahan lain antaranya perjudian atas talian," katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru, hari ini.

Aduan mengenai keselamatan siber 

Sebelum ini, media melaporkan Cybersecurity Malaysia (Cybersecurity) menerusi Pusat Bantuan Cyber999 menerima sebanyak 1,223 aduan membabitkan pelbagai insiden keselamatan siber sehingga pada Januari dan Februari tahun ini. Dilaporkan Cybersecurity menerima aduan berhubung keselamatan siber secara purata sebanyak 10,000 kes setiap tahun dan jumlah itu juga dijangka meningkat dari semasa ke semasa.

Indeks terkini jenayah di Johor

Sementara itu, jumlah indeks jenayah di Johor menurun kepada 42 kes atau 26.09 peratus bagi tempoh 27 Mei sehingga 8 Jun, berikutan peningkatan kawalan keselamatan dengan kehadiran anggota pasukan CID berpakaian 'Men In Black' (MIB).

Dilaporkan, berdasarkan rekod hanya 119 kes dicatatkan berbanding 161 kes pada minggu sebelumnya dengan tiada kes bunuh atau samun bersenjata api direkodkan oleh Polis Johor dalam tempoh berkenaan.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Kamarul Zaman Mamat, turut mencatatkan penurunan adalah jenayah harta benda yang merekodkan 33 kes manakala berkaitan curi kereta sebanyak 24 kes, jenayah kekerasan (sembilan kes), samun tanpa senjata api (lima kes) dan samun berkumpulan tanpa senjata api (lima kes).

Sebelum ini dilaporkan Polis Johor meningkatkan kawalan keselamatan di semua kawasan tumpuan orang ramai termasuk pusat perniagaan di seluruh daerah itu bertujuan mencegah aktiviti kumpulan pengganas dan juga aktiviti jenayah.

Mungkin tidak ramai yang sedar, kehadiran MIB ini sebenarnya ditempatkan di pintu keluar masuk negara, terminal feri, jeti dan juga Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, dari semasa ke semasa bagi memberi keyakinan kepada rakyat mengenai peningkatan kawalan keselamatan serta mencegah aktiviti jenayah.

Selain menjalankan pemantauan, pasukan tersebut juga membuat rondaan serta pemeriksaan di perhentian bas, pasar raya, pusat membeli-belah, bank dan juga premis perniagaan yang lain bagi mewujudkan persekitaraan selamat serta bebas jenayah.

#Jenayah #Jenayah