Sikap prihatin bukan sahaja menghulurkan sumbangan tetapi mengambil berat perlu ada dalam diri agar nasib golongan insan yang serba kekurangan tidak berasa tersisih.

Itulah yang cuba diterapkan dan disemai Persatuan Kumpulan Motor Wings (WMGS) Pulau Pinang apabila tampil menganjurkan Majlis Makan Malam Amal 2017 di Restoran dan Hotel Pen Mutiara (Pen Mutiara), Pulau Pinang, baru-baru ini.

Acara kebajikan yang diadakan buat pertama kalinya menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) WMGS meraikan 50 pelajar tahfiz Maahad Tahfiz Mana Hilir Irfan, Batu Maung. Menariknya, program amal itu turut disertai penyanyi dan pelakon terkenal Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman selaku pengasas dan Presiden WMGS.

Awie (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil Maahad Tahfiz Mana Hilir Irfan, Batu Maung, Pulau Pinang.

SUMBANGAN DERMA KILAT

Ketua Bahagian WMGS Wilayah Utara, Hussin Mohamed berkata, program amal ini turut mendapat kerjasama Pen Mutiara dan Shareez Global Ventures (SGV) dalam usaha memupuk semangat silaturahhim.

Menurutnya, kerjasama kesemua pihak ini dilihat sebagai satu usaha murni dalam mendekatkan lagi hubungan antara syarikat korporat dan kelab motosikal WMSG di seluruh negara. Malah, program kebajikan ini bukan sahaja merapatkan lagi hubungan kemesraan antara ahli WMGS tetapi golongan pelajar ini berpeluang menerima bantuan dan mendapat perhatian.

"Alhamdulillah, pada majlis ini disampaikan sumbangan ikhlas berupa wang tunai dan barangan lain untuk anak-anak tahfiz. Lebih terharu sumbangan derma kilat turut diberikan oleh ahli-ahli WMGS yang hadir termasuk kehadiran ahli WMGS dari Brunei dan Thailand," katanya kepada Rojak Daily Skop!.

Tambahnya, sebelum ini program kebajikan dan CSR WMGS turut diadakan di Perak, Pahang, Selangor dan Kelantan demi martabat Silaturrahim, Ekonomi dan Kebajikan (SEK). Menerusi acara sebegini, WMGS mengambil peluang mendekatkan lagi hubungan kemesraan dengan masyarakat agar kehadiran mereka lebih dihargai.

"WMGS juga turut bersyukur kerana sejak ditubuhkan pada September tahun lalu turut mempunyai Sekolah Maahad Tahfiz di Yala dan Masjid Jamek Singora di Songkhla, Thailand," katanya.

Sementara itu, Pengarah SGV, Sharizal Md Noor berkata, pihaknya melahirkan rasa teruja dapat berkerjasama dengan WMGS dan Pen Mutiara dalam program kebajikan.

Baginya, program kebajikan ini merupakan program jangka masa panjang dalam soal kebajikan antara syarikat korporat dan WMGS Pulau Pinang selain membantu golongan yang kurang berkemampuan.