Menjadi ibu negeri bagi Pahang Darul Makmur membuatkan Kuantan cukup dikenali sebagai bandar yang mempunyai segalanya. Dari taburan pasir putih di kawasan pantainya, keindahan alam semulajadi air terjunnya, tarikan makanan yang menyelerakan berupaya menarik ramai pelancong dari luar untuk ke Kuantan. Apa lagi yang menarik ada di sini? Kami senaraikan lima tempat yang harus anda singgah jika berada di Kuantan.

1. Teluk Cempedak

Keindahan Teluk Cempedak

Teluk Cempedak merupakan pantai yang cukup terkenal di daerah Kuantan. Insfrastuktur yang lengkap seperti surau, tandas, hotel, restoran dan gerai cenderamata dibina di kawasan ini menjadikan ia antara kawasan tarikan orang tempatan mahupun pelancong luar.

Anda boleh memilih untuk menyusuri pesisir pantai, bermandi-manda di kawasan pantai ataupun berkelah bersama keluarga tercinta apabila berada di sini. Panorama indah alam semula jadi seperti longgokan batu-batuan, kehijauan kawasan hutan berhampiran serta putihnya pasir pantai melengkapkan suasana bagi anda yang mahukan ketenangan.

2. Taman Tema Air Bukit Gambang

Taman Tema Air Bukit Gambang.

Bukit Gambang terletak 40 kilometer dari pusat bandar Kuantan yang menawarkan keseronokan taman tema air pada warga Pahang. Bukit Gambang atau lebih dikenali sebagai Gambang Resort City mempunyai dua taman tema utama iaitu Gambang Water Park dan Safari Park.

Bagi anda yang sukakan keseronokan bermain air, terdapat tiga bahagian di dalam taman tema air ini iaitu Coco Beach, Wave Pool dan Lagoon. Tidak terhad pada aktiviti air, anda juga boleh bermain ATV Ride, Family Raft Ride, Tree Top Hill dan pelbagai lagi aktiviti mencabar adrenalin.

2. Air Terjun Sungai Pandan

Dibuka 9 pagi-5 petang setiap hari.

Air terjun yang sejuk dan damai menjadi pilihan sebahagian pengunjung untuk beriadah. Air Terjun Sungai Pandan merupakan destinasi yang sesuai untuk melakukan aktiviti berkelah, bermain air dan perkhemahan.

Air terjun ini terletak di Felda Sungai Pancing Selatan Pahang, kira-kira 25 kilometer dari bandar Kuantan. Kawasan ini cukup popular dalam kalangan penduduk Kuantan dan orang luar kerana keindahan air terjunnya.

4. Ikan bakar Tanjung Lumpur

Makanan laut segar dihidangkan pada pelanggan.

Tempat wajib makan apabila anda ke Kuantan adalah Ikan Bakar Tanjung Lumpur, Kuantan. Kawasan ini menghidangkan pelbagai menu masakan laut yang segar kepada pengunjungnya.

Antara menu pilihan ramai sudah pastinya ikan bakar petai, ketam masak pedas serta lala dan sotong bakar. Salah satu kedai yang menarik perhatian pengunjung adalah restoran Super Top Ikan Bakar yang menjadi pilihan ramai pengunjung.

5. Mara Digital@Kuantan

One stop centre untuk keperluan gajet anda.

MARA Digital@Kuantan adalah inisiatif Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk memperluaskan hub teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang terletak di Plaza Gambut, Kuantan.

Dilancarkan pada 29 Oktober tahun lalu, MARA Digital@Kuantan menawarkan pelbagai pilihan daripada telefon pintar, aksesori telefon, gajet terkini dan sebagainya pada harga yang berpatutan.