Kehidupan Orang Asli yang unik amat menarik perhatian semua. Jika sebelum ini mungkin payah untuk kita bertemu dengan mereka, kini anda boleh bertemu dan merasai pengalaman kehidupan Orang Asli di Karnival Orang Asli (KOA) 2017.


Jom datang beramai-ramai!

Bakal diadakan pada 24 hingga 26 November ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), anda boleh nikmati sendiri keunikan kebudayaan pelbagai suku kaum, warisan, bahasa, kepercayaan dan amalan masyarakat Orang Asli sepanjang karnival ini berlangsung.

Nak tahu apa lagi yang best? Ini 5 sebab kenapa anda WAJIB berkunjung ke KOA 2017.

1. Karnival ini mengetengahkan tiga elemen seperti keusahawanan, kebudayaan dan kejayaan Orang Asli. Anda boleh mendapatkan produk-produk Orang Asli yang berasaskan madu, makanan, herba, pertanian, perkhidmatan dan pelancongan di sini.

2. Kesemua 18 suku kaum Orang Asli di Malaysia akan diperkenalkan pada Karnival ini. Pencinta sejarah dan budaya perlu datang dan boleh berkongsi ilmu tentang asal-usul mereka.


Persembahan muzik oleh masyarakat Orang Asli.


3. Tidak hanya jualan, ada tiga pertandingan akan diadakan pada karnival ini iaitu pertandingan menyumpit, pertandingan karaoke dan battle of the band! Semua kumpulan yang akan bertanding dalam battle of the band ini terdiri dari kalangan Orang Asli. Menarik kan?

4. Persembahan tradisional masyarakat Orang Asli, demo mengukir, menganyam, masakan dan menyumpit turut menyambut kunjungan anda. Di samping itu, bual bicara mengenai pencapaian dan kejayaan masyarakat Orang Asli, persembahan kumpulan muzik Orang Asli serta persembahan Choral Speaking oleh Orang Asli juga akan dipersembahkan.


Antara tarian tradisi masyarakat Orang Asli.


5. Pasukan Polis di Raja Malaysia (PDRM) Senoi Praaq turut ada untuk mengadakan persembahan tarian perang dan pameran. Bagi anda yang tak tahu apa itu pasukan Senoi Praaq, pasukan ini adalah pasukan khas dalam PDRM yang dianggotai oleh Orang Asli.

Jangan lepaskan peluang anda untuk berkunjung ke KOA yang berlangsung selama tiga hari sahaja iaitu pada 24 hingga 26 November 2017 bertempat di PWTC.