Berbual secara eksklusif dengan penyanyi kecil molek tetapi berjiwa besar ini sangat menyenangkan. Tiada apa yang mahu diselindungkan. Dia mahu berkongsi jejak dan cerita untuk ditatap di kemudian hari. Dia mahu peminat dan orang di luar sana faham asal semangat dan kekuatan yang dimiliki di dalam dirinya.

Sejak berumur 14 tahun Stacy sudah mula menyanyi untuk membantu keluarganya. Ketika itu, pakciknya yang mengetahui minat mendalam Stacy dalam bidang nyanyian, mendapat tahu ada sebuah kumpulan memerlukan seorang penyanyi.

Stacy di awal penglibatan di bidang seni.

“Tempatnya hanyalah sebuah pub kecil dengan dua orang pemuzik. Saya masih ingat, pakcik datang ke rumah meminta izin ibu untuk saya menyanyi,” katanya sambil terbayang kisah lama.

“Saya di tingkatan dua dan bersekolah petang. Jadi tidak ada masalah untuk ke sekolah. Ibu juga kerja berdekatan dengan pub saya menyanyi, jadi dia selalu datang menjenguk.

Sokongan mama tersayang.

“Saya percaya dengan restu ibu, saya mampu pergi jauh,” katanya tersenyum.

Mempunyai pendapatan sendiri ketika itu dan mampu meringankan beban keluarga membuatkan Stacy mahukan yang lebih baik. Tiga bulan menyanyi di pub, dia ditawarkan pula untuk menyanyi di sebuah kelab dalam sebuah hotel di Kota Kinabalu.

Sekali lagi pakciknya datang ke rumah bertemu ibubapanya untuk mendapatkan keizinan. Stacy bersyukur kerana ibunya sangat memahami. Maka bermulalah kariernya di sana dengan lebih ramai menyaksikan beliau menyanyi.

Mencuba ujibakat.

Karier bermula di usia 16 tahun

“Saya tahu masih banyak lagi peluang yang lebih besar di luar sana, begitu juga dengan ibu. Buat pertama kali atas galakan ibu, saya ke Kuala Lumpur. Pertama kali juga naik kapal terbang,” katanya sambil ketawa.

“Saya ke ujibakat untuk rancangan realiti One In A Million, namun hanya sampai ke Top 40,” ujarnya mengingat kembali.

Menyertai program realiti Gangstarz.

Tidak mahu mengalah, dan bersama abang dan kawan-kawannya, Stacy mencuba sekali lagi dalam rancangan realiti Gangstarz. Walaupun tidak sampai ke pusingan separuh akhir, menyanyi di kaca TV dan di pentas yang penuh dengan penonton memberikan pengalaman yang sangat berharga buat Stacy.

Stacy sedar dia lebih daripada itu. Beberapa pertandingan nyanyian di Kota Kinabalu turut disertainya, namun kemenangan masih belum mampu digapai. Kalah seperti sebati dengan dirinya. Sehinggakan pada satu ketika dia takut untuk bergaul dengan kawan-kawan.

“Ramai yang menyindir, mengutuk dan mentertawa. Sudah masuk TV tapi masih lagi kalah,” dia tersenyum pahit.

Namun tidak ada apa yang mampu mematahkan semangat yang tertanam di dalam dirinya. Dia tahu dia lebih daripada apa yang orang kata, dia sedar dia ada sesuatu yang lebih untuk diberikan. Itulah yang dia mahu buktikan.

Juara Akademi Fantasia musim keenam.

Menginjak Usia 18 Tahun

Stacy menyertai rancangan realiti nombor satu di Malaysia, Akademi Fantasia musim yang keenam. Di situ impiannya bertitik menjadi kenyataan.

“Saya masih ingat ketika ujibakat di Kota Kinabalu, saya menyanyikan lagu Unfaitful dan Mencintaimu.

Impian jadi kenyataan.

“Di dalam Akademi Fantasia saya banyak belajar perkara yang baru. Saya kutip segala ilmu yang diberikan oleh tenaga pengajar. Saya juga gunakan pengalaman yang ada ketika menyanyi dulu. Syukur, kejayaan memihak kepada saya,” katanya lagi.

Hingga kini, tiada yang mencabar Stacy.

Gelaran Di Usia 19 Tahun

Setahun selepas memenangi Akademi Fantasia, peminat sudah menggelarkan Stacy 'The Queen of Dance'. Ketika itu tidak ada penyanyi yang mampu menyanyikan lagu rancak beserta gerak tari yang padu dan tepat. Malah, saban tahun juga dia sering berjaya ke pertandingan akhir Juara Lagu.

Dia juga mula mengecap pelbagai kejayaan lain seperti memenangi Anugerah Penyanyi Baru Wanita Popular, Anugerah Shouts dan banyak lagi.

Sifat keibuan sentiasa ada dalam diri.

Keputusan Yang Mengubah Hidup Di Usia 22 Tahun

Naluri keibuan mengetuk hati ketika Stacy berumur 22 tahun. Bella dijaga sejak lahir dengan kasih sayang yang tidak berbelah bagi.

“Dulu sewaktu di kampung, saya selalu juga menjadi 'babysitter' jadi menjaga anak-anak sudah biasa untuk saya. Dari segi kerja juga tidak ada masalah, kerana ada ramai ahli keluarga saya yang membantu menjaga Bella ketika saya berjauhan.

“Cuma setelah Bella semakin membesar, pada awalnya agak kekok juga bila dipanggil 'mommy'. Lama kelamaan sudah menjadi biasa,” katanya sambil ketawa.

Bersatu dengan pilihan hati.

Kemanisan Hidup Di Usia 25 Tahun

Di usia 25 tahun, Stacy membuat keputusan untuk mengahwini lelaki yang dicintainya. Perkenalan selama tujuh tahun dengan penyanyi juga kelahiran Akademi Fantasia, Akim, menjadi pelengkap hidupnya.

“Kami sudah lama berkawan dan atas nasihat keluarga, juga memikirkan Bella yang semakin membesar, kami membuat keputusan untuk bersatu menjadi suami isteri. Satu keputusan yang terbaik buat kami,” katanya tersenyum lagi.

Membina keluarga bahagia.

Bersama Akim, Stacy terus menyerlah di bidang seni. Lagu duet dicipta untuk nyanyian mereka berdua dan banyak lagi dilakukan bersama.

Hinggalah naluri keibuannya tiba dan mahu menambah ahli keluarga. Eshaal lahir pada awal tahun ini dan tiada yang lebih menggembirakan mereka dengan kehadiran ahli baru dalam keluarga.

Tumpuan kepada keluarga.

“Saya berehat agak lama, hampir setahun. Saya ingin tumpukan sepenuh masa membina keluarga baru. Saya tidak mahu buat sesuatu kerja separuh hati, jadi saya tinggalkan seketika bidang nyanyian dan tumpukan seratus peratus pada keluarga.

“Banyak juga show yang saya tolak kerana untuk saya, kalau saya tidak mampu melakukan seratus peratus, lebih baik saya tidak melakukannya. Saya seorang yang 'perfectionist'. Saya mahu lakukan yang sempurna.

Kembali aktif.

Kembali Menyengat Di Usia 27 Tahun

“Kini di usia 27 tahun, saya kembali aktif. Single baru Cakap Ke Tangan juga sudah keluar dan sudah mula dipromosikan. Beliau juga kembali meningkatkan stamina dengan membuat senaman di gym dengan bantuan pelatih peribadi.

Lahirkan single baru.

Ditanya kepada empunya nama Ummu Shaikhah Stacy Anam ini sampai bilakah dia akan terus menyanyi, ringkas sahaja jawapannya.

“Selagi kaki ini boleh berdiri, Stacy akan teruskan. Dan selagi peminat menerima, selagi itu saya akan terus memberikan yang terbaik.

Berterima kasih kepada Anlene.

“Pada saya, setiap orang mahukan yang lebih dari kehidupan. Kita tidak dibatasi dengan umur, dengan paras rupa, dengan siapa diri kita, kerja kita, apa yang orang orang harapkan daripada kita, dan apa jua yang dilabelkan pada kita. Kita tahu siapa diri kita dan kita mampu melangkah lebih jauh jika kita letakkan kepercayaan dengan kemampuan diri kita,” kata Stacy mengahiri perbualan kami.

Temubual eksklusif bersama Stacy ini dibawakan khas oleh Anlene, Lebih Daripada Sekadar Susu: Kini Dengan Kologen, Protein dan Kalsium Tinggi. #WeAreMore