The Masked Singer
Bawa 'Hallyu Wave', Astro Warna Saji 'The Masked Singer Malaysia’ Untuk Penonton
Program ‘The Masked Singer Malaysia’ ialah sebuah pertandingan nyanyian berkonsepkan misteri yang menampilkan para peserta yang terdiri daripada nama-nama hebat yang hadir dari pelbagai cabang seni.
Kesemua 12 peserta misteri ini akan beradu tenaga mempersembahkan kehebatan bakat nyanyian masing-masing di hadapan barisan juri yang juga figura dihormati dalam industri.
‘The Masked Singer Malaysia’ menggunakan format asal program realiti popular dari Korea Selatan, ‘The King of Mask Singer’ yang juga diadaptasi di negara-negara lain seperti Indonesia, Thailand, China dan Amerika Syarikat, di mana ia berjaya mencetuskan satu fenomena yang cukup gah dan diminati ramai.
Kesemua peserta 'The Masked Singer Malaysia' akan memakai kostum dari kepala hingga ke kaki bagi menyembunyikan identiti masing-masing.
Hanya suara dan kreativiti persembahan sahaja yang akan dipertaruhkan untuk menentukan kedudukan peserta dari minggu ke minggu
sehinggalah dinobatkan sebagai juara musim pertama.
Dalam pada itu, Naib Presiden Saluran Perniagaan Melayu Astro, Azlin Reza Azmi berkata Astro Warna menyambut baik perkembangan landskap industri hiburan yang sedia menerima gabungan muzik dan komedi.
"Kami akui gelombang Hallyu Korea Selatan cukup besar sehinggakan ia berjaya menembusi industri hiburan di persada antarabangsa.
"Walaupun hadir dengan perbezaan bahasa dan budaya, ia tidak membantutkan usaha kami membawa program ini ke Malaysia untuk disajikan kepada penonton Astro.
"Menariknya lagi, kami turut menyuntik elemen lokal atau tempatan di pelbagai sudut dan ia boleh dilihat ketara menerusi kostum-kostum yang dihasilkan dan diperagakan peserta.
"Kami amat berbangga kerana dapat bekerjasama dengan Akma Suriati untuk musim pertama 'The Masked Singer Malaysia' ini," katanya kepada Gempak.
Seramai sembilan orang figura yang hadir dari latar belakang berpengaruh dalam industri telah diberi penghormatan untuk menduduki kerusi juri tetap.
Mereka adalah Datuk Aznil Haji Nawawi, Michael Ang, Raja Azura, Zizan Razak, Ella Aminuddin, Remy Ishak, Nabila Huda, Ramona Zam Zam dan Angah Raja Lawak.
Manakala, Datuk AC Mizal yang merupakan pengacara tersohor menggalas tugas sebagai hos.
Di samping itu, SK Magic dan Oppo menjadi penaja utama untuk 'The Masked Singer Malaysia'.
Siapakah mereka di sebalik kostum ini Mungkinkah mereka ini artis dan selebriti kegemaran anda?
Saksikan program yang bakal mencetuskan fenomena ini di Astro Warna (CH127) dan Warna HD (CH107) mulai 18 September 2020, setiap Jumaat, jam 9 malam!
Program ini juga boleh distrim secara eksklusif melalui aplikasi Astro GO dan kemudahan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.