Semua | All
#GempakSpot: Aku Yang Dulu, Bukanlah Aku Yang Sekarang.. Tanah Pusaka Tergadai Kerana Hutang
Aku yang dulu bukanlah yang sekarang, itulah perumpamaan dapat mengambarkan keadaan aku akibat dibelenggu oleh masalah hutang.
Nama aku Jiman. Kisahnya bermula apabila aku mendapat tawaran kerja daripada sebuah syarikat terkenal di ibu negara dengan tawaran gaji lebih kurang RM5,000 sebulan.
Itulah kali pertama aku mendapat gaji sebanyak itu, perasaan sudah semestinya seronok seolah-olah rasa dunia ni aku yang punya.
Tanpa berfikir panjang aku pun mula menjinakkan diri dengan membuat kad kredit dan membeli pelbagai jenis barangan mewah sehingga perkara itu menjerat aku ke dalam masalah iaitu dibelenggu oleh masalah hutang.
Akibat terlalu boros aku menanggung bebanan hutang yang banyak sehingga nama aku disenarai hitamkan oleh bank walaupun ketika itu aku baru berusia 23 tahun dan tidak mempunyai sebarang aset seperti kereta dan rumah sendiri.
Disebabkan desakan hidup yang dibebani hutang, aku mengambil jalan mudah dan tidak berfikir panjang untuk membuat pinjaman daripada sindiket peminjaman wang tanpa lesen atau Ah Long untuk menyelesaikan segala hutang yang ada.
Hidup aku kembali tenang tetapi untuk beberapa bulan sahaja. Selepas dua bulan berlalu, aku hampir setiap hari dikejar oleh Ah Long kerana tidak dapat menjelaskan bayaran hutang setiap bulan.
Aku menjadi takut dan ada beberapa kali aku diugut serta dipukul oleh mereka. Malah mereka juga ugut untuk memotong anggota badan aku dan membunuh aku sekiranya gagal membayar hutang.
Setelah 7 bulan melarikan diri daripada Ah Long, aku pulang semula ke kampung dan menceritakan segala masalah kepada keluarga aku untuk meminta bantuan.
Selepas berbincang emak aku mencadangkan untuk mengadaikan tanah pusaka yang ada di kampung bagi menyelesaikan segala hutang aku kerana keluarga risau aku akan diapa-apakan oleh Ah Long tersebut.
Alhamdulillah, kehidupan aku kembali normal dan tidak berada dalam ketakutan lagi kerana segala hutang telah diselesaikan dengan Ah Long dan aku berjanji kepada emak untuk menebus kembali semula tanah itu suatu hari nanti.
Ternyata yang indah hanya sementara, selepas beberapa bulan emak aku dilaporkan menghidap penyakit kanser payu dara tahap empat. Kami harus mempunyai sejumlah wang untuk menampung kos rawatan emak.
Sebagai anak aku tidak sanggup untuk melihat emak terlantar sakit begitu sahaja dan aku harus lakukan sesuatu supaya dapat mengumpul duit rawatan kerana tanah pusaka keluarga telah dijual kerana ingin menyelesaikan hutang aku.
Sehingga kini aku masih buntu untuk mendapatkan wang bagi rawatan emak kerana aku telah kehilangan pekerjaan disebabkan sering dikejar oleh Ah Long ketika berada di pejabat.
Apa yang aku boleh katakan kehidupan mewah aku dulu itu hanya sementara dan sekarang ini hidup aku agak susah apabila harus mendapatkan wang bagi menampung kos rawatan emak.
Aku memang kesal kerana disebabkan aku, tanah pusaka tergadai dan kini kami tidak ada apa-apa lagi harta untuk membantu emak.
Itulah sahaja kisah yang aku boleh kongsikan dan pengajaran yang aku dapat ialah berbelanja berpada-pada dan jangan sesekali membuat pinjaman dengan Ah Long jika tidak mahu hidup dalam ketakutan.
*Jiman adalah penulis bebas untuk artikel di atas. Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Kepada anda yang berminat untuk menyumbang, hantarkan karya anda ke hello@gempak.com
*Astro dengan kerjasama Chatime Malaysia kini tampil dengan program realiti nyanyian baharu berjudul Mikrofon Impian untuk membantu masyarakat yang dibebani dengan masalah hutang.
Program Mikrofon Impian akan diterajui Pak Nil sebagai hos dan menampilkan tiga juri tetap iaitu Fauziah Latiff, Azmi Saat dan Pengarah Urusan Chatime Malaysia, Aliza Ali yang akan mengadili para peserta.
Dua peserta akan berentap dalam pusingan kalah mati untuk setiap episod dan mereka diminta menjelaskan situasi kewangan sebelum menyanyikan lagu pilihan masing-masing di hadapan juri.
Setiap minggu para peserta juga akan diadili oleh juri undangan khas seperti Zamani, Elyana, Mark Adam, Elizabeth Tan, Tomok, Hazami, Salih Yaacob, Mawi dan Siti Nordiana.
Mikrofon Impian akan bersiaran setiap hari Ahad, jam 9.00 malam mulai 17 Februari menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (123).