Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Pertembungan Floyd Mayweather Lawan Conor McGregor Bakal Jadi Aksi Terhebat Sejarah Tinju Dunia

Ashraf Wahab
18/08/2017 02:00 MYT
Apakah pertarungan terbesar di dalam sejarah? Pada tahun lalu, Hollywood menyajikan kita dengan filem pertembungan di antara Batman dan Superman dan tidak ketinggalan juga Captain America bersaing dengan Iron Man. Tidak cukup setakat itu, filem pertempuran di antara dua raksasa iaitu Godzilla dan King Kong juga sedang dalam pembikinan dan akan menemui peminat tidak lama lagi.

Namun, itu kisah di dalam filem, jadi bagaimana pula dengan alam realiti? Pada Mei 2015, ramai mengatakan pertembungan di antara dua juara tinju iaitu Floyd Mayweather Jr. dari Amerika Syarikat (AS) dan Manny Pacquiao dari Filipina adalah pertembungan terbesar dalam sejarah.

Kehebatan dua petinju tersebut sememangnya sudah terbukti dan pertemuan mereka diibaratkan buku bertemu ruas. Malah, bagi pasaran AS sahaja, nilai pembelian siaran bagi perlawanan tersebut adalah AS$410 juta (RM1.76 billion). Perlawanan bersejarah tersebut akhirnya telah dimenangi Mayweather.



LAS VEGAS BAKAL MENJADI SAKSI

Setelah menewaskan Andre Berto pada September 2015, Mayweather telah menggumumkan persaraan dari dunia tinju. Dia telah memberikan faktor usia yang semakin lanjut dan tiada lagi pencabar yang berwibawa sebagai alasan untuknya mengundur diri.

Dengan rekod 49 kemenangan dan tidak pernah tewas, Mayweather dianggap antara peninju yang terhebat sepanjang zaman. Namun, seandainya dunia tinju kehabisan pencabar berwibawa, bagaimana pula jika Mayweather dipertemukan dengan jaguh dari sukan pertempuran lain?

Persoalan tersebut kini menjadi kenyataan. Mayweather telah bersetuju untuk keluar daripada persaraan dan bertemu dengan johan gabungan seni bela diri (MMA) yang termashur, Conor McGregor pada 26 September ini (27 September bagi waktu Malaysia) di T-Mobile Arena, Las Vegas, Amerika Syarikat.

Perlawanan ini dijangkakan akan menjadi lebih besar daripada pertemuan di antara Mayweather dan Pacquiao yang lepas. Walaupun kedua bintang ini datang dari sukan pertempuran berbeza, mereka akan bertarung di dalam perlawanan tinju dan di atas kertas itu memberikan kelebihan kepada Mayweather.

Malah, dianggarkan 98 peratus pengulas dan peminat sukan meramalkan Mayweather akan menang dengan mudah. Tetapi penulis ingin mewakili pendapat minoriti dua peratus yang lain dengan memberikan lima sebab McGregor mampu mengejutkan dunia dan mucul pemenang!

1. KEKEBALAN MCGREGOR

Sesuatu fakta yang tidak boleh dinafikan sesiapa adalah atlit MMA mempunyai daya ketahanan rasa sakit yang jauh lebih tinggi daripada para atlit tinju. Sebagai contoh, perlawanan tinju yang diadakan di dalam kategori berat badan 154 lbs seperti ini biasanya menggunakan sarung tangan seberat 10 oz.

Undang-undang tinju Nevada tidak membenarkan penggunaan sarung tangan yang lebih ringan dan nipis kerana ianya akan membahayakan keselamatan peninju yang terlibat. Nanun, setelah melalui satu permohonan khas, perlawanan Mayweather dan McGregor in akan menggunakan sarung tangan seberat 8 oz.

Seandainya peninju risau akan keselamatan mereka apabila menggunakan sarung tangan yang lebih ringan dan kecil, itu sebenarnya membuktikan daya ketahanan rasa sakit mereka tidak setinggi atlit MMA. Sebagai perbandingan, perlawanan MMA menggunakan sarung tangan yang mempunyai berat hanya 4 oz sahaja.

Maka, atlit MMA sudah biasa terkena tumbukan yang lebih padu akibat sarung tangan yang jauh lebih nipis. Tidak cukup dengan itu, perlawanan MMA juga melibatkan pukulan siku, lutut dan sepakan kaki yang tidak berlapik. Semua gerakan ini lebih menyakitkan dari tumbukan tinju yang berlapik sarung tangan yang besar dan tebal.

Satu lagi faktor yang memberikan kelebihan kepada McGregor adalah corak perlawanan yang sering diamalkan oleh Mayweather. Peninju AS tersebut terkenal dengan gaya pertarungan yang bertahan dan jarang sekali dalam 20 tahun terakhir kariernya Mayweather berjaya menumbangkan lawan dengan pukulan 'KO' ('knock out'). Apabila digabungkan dua faktor ini, dijangkakan McGregor akan 'kebal' dari sebarang tumbukan Mayweather.



2. TUMBANGNYA BEKAS JAGUH TINJU

Apabila berita pertarungan ini mula-mula keluar, segelintir warga dunia tinju merasakannya seperti satu penghinaan terhadap sukan mereka itu. Antaranya adalah bekas juara dunia tinju bagi dua kategori berat badan yang berbeza iaitu Paulie Malignaggi.

Malignaggi yang baru sahaja bersara pada Mac lalu beranggapan seseorang yang tidak pernah bertanding dalam sukan tinju tidak layak bertemu jaguh hebat seperti Mayweather.

“Sekiranya McGregor bertemu saya dalam perlawanan tinju, saya rela memakai pemberat di pergelangan kaki saya agar pergerakan saya lambat sedikit. Seterusnya saya akan ikat sebelah tangan di belakang badan saya dan saya akan letak sesuatu di bawah dagu saya supaya senang untuk dia sasarkan tumbukan kearah muka saya. Itu pun saya akan menewaskan (McGregor) dengan mudah,” ujar Malignaggi pada penghujung tahun lalu.

Sebagai persiapan menentang Mayweather, McGregor menjemput Malignaggi untuk menjadi rakan sepelatihnya pada awal bulan ini. Tidak lama kemudian, beberapa keping gambar perlawanan ujian di antara McGregor dan Malignaggi mula tular di Internet antaranya gambar McGregor meletakkan kedua tangan di belakang badannya ketika bertemu Malignaggi, muka Malignaggi yang lebam terkena tumbukan McGregror, dan juga Malignaggi tersembam akibat terkena pukulan McGregor.

Malignaggi merasakan dirinya dimalukan dengan penyebaran gambar-gambar tersebut, lalu dia telah meninggalkan kem latihan McGregor.

"Gambar-gambar tersebut mengelirukan. Saya bukannya tumbang terkena tumbukan McGregor tapi saya sebenarnya ditolak olehnya,” ujar Malignaggi kepada pihak media.

Insiden antara mereka tidak hanya habis di situ, pihak McGregor sebaliknya menularkan pula sedutan video daripada perlawanan ujian tersebut. Anda boleh melihat di dalam video di bawah bahawa Malignaggi tidak ditolak McGregor tetapi sebaliknya dia tumbang akibat asakan bertalu-talu daripada McGregor. Video tersebut juga menunjukkan McGregor berjaya melakukan beberapa tumbukan pada terus ke muka Malignaggi.

Walaupun Malignaggi mengatakan dia ditolak McGregor, dia juga mengakui McGregor menang perlawanan ujian tersebut. Ini membuktikan bahawa McGregor bukan seorang lawan yang mudah seperti diperkatakan ramai kerana dia juga mampu menggalahkan seorang bekas juara tinju seperti Malignaggi.



3. CORAK BERTINJU YANG TIDAK DAPAT DIJANGKA

Ramalan yang dibuat sebilangan penggulas sukan adalah corak bertinju yang digunakan McGregor bakal memberikan kesukaran kepada Mayweather kerana dia sudah terbiasa dengan pergerakan yang diamalkan atlit tinju. Oleh kerana McGregor adalah seorang atlit dari sukan yang berbeza, warga Ireland itu tidak mempunyai gaya pertarungan yang sama seperti atlit tinju lain dan ini akan menyukarkan Mayweather membaca pergerakannya.

Ketika siding media baru-baru ini, McGregor ditanya mengenai kemungkinan Malignaggi akan membocorkan maklumat perlawanan ujian antara mereka berdua. Malignaggi mungkin akan memberi tahu Mayweather tentang corak bertinju diamalkan McGregor. Bintang MMA itu berkata dia tidak kisah kerana semua itu tidak akan mempengaruhi perlawanan.

“Anda tidak mampu membuat persedian menentang saya. Tidak ada sesiapa pun, baik dalam dunia tinju mahupun MMA yang mempunyai pergerakan seperti saya, yang mempunyai gaya serangan seperti saya, atau yang mempunyai keyakinan seperti saya,” jawab McGregor.

4. PERTEMBUNGAN LAGENDA TUA BERTEMU JAGUH MUDA

“Saya orang tua. Saya bukan lagi peninju yang sama seperti ketika 20 tahun yang lalu. Tidak lagi sama seperti 10 tahun yang lalu. Tidak seperti 5 tahun yang lalu. Malah, saya bukan lagi peninju yang sama seperti 2 tahun lalu tetapi saya masih ada cukup rencah untuk mengalahkan (McGregor),” ujar Mayweather ketika siri sidang akhbar jelajah dunia yang berlangsung di Los Angeles, AS.

Walaupun Mayweather menyatakan keyakinan untuk menang dan menjadikan rekod tinju 50 perlawanan tanpa kalah, hakikatnya adalah pada usia 40 tahun prestasinya bukanlah berada pada tahap terbaik. Ini ditambah pula dengan faktor persaraan selama hampir dua tahun yang dilaluinya.

Mcgregor pula berusia 29 tahun dan berada pada kemuncak prestasi. Tambahan, saiz McGregor adalah lebih besar berbanding Mayweather. McGregor mempunyai ketinggian 175 cm dan mempunyai jangkauan tumbukan sejauh 188 cm. Sebagai perbandingan, Mayweather mempunyai ketinggian 172 cm dan jangkauan tumbukannya adalah sejauh 183 cm.

Malahan, ketika siri sidang media jelajah dunia yang berlangsung di empat bandaraya baru-baru ini, McGregor berkali-kali menekan bahawa saiz Mayweather tidak mampu menahan asakan yang bakal diberi.

“Kakinya terlalu kecil. Badan dan kepalanya juga terlalu kecil. Penumbuk saya sahaja dah sama besar dengan kepalanya,” ujar McGregor.



5. PERANG PSIKOLOGI

Sesuatu yang sudah diketahui ramai peminat MMA adalah McGregor merupakan seorang yang hebat menggunakan psikologi untuk menggugat minda lawan. Ucapannya seringkali sama ada menimbulkan rasa marah yang membuak-buak ataupun membuatkan keyakinan diri pihak lawan goyah.

Ini berulang pada siri sidang media jelajah dunia bagi mempromosikan perlawanan ulung ini. McGregor telah berucap dengan menyerang beberapa masalah peribadi Mayweather seperti kegagalannya membayar cukai pendapatan, ketidakupayaan Mayweather untuk membaca, penyakit yang membuatkan tangannya semakin hari semakin rapuh, dan banyak lagi.

Perang psikologi McGregor tidak terhad kepada ucapannya sahaja kerana dia juga mahir membuat serangan secara halus. Baru-baru ini tular di Internet gambar McGregor memakai jersi bernombor 23 bagi pasukan bola keranjang NBA iaitu Golden State Warriors.

Pemain yang memakai jersi bernombor 23 bagi Golden State Warriors ketika ini merupakan rakan Mayweather iaitu Draymond Green dan dia telah memuat naik gambar McGregor tersebut ke Instagram.

“Kami menyokong Floyd, bukannya kamu. Bukak jersi tersebut cepat,” tulis Green sebagai keterangan gambar tersebut.

McGregor kemudiannya membalas di ruangan komen Instagram milik Green tersebut: “Itu jersi C.J. Watson lah kawan. Saya langsung tak tahu siapa awak. Tapi jangan risau dik, teruskan berusaha dan jangan ponteng sekolah”.

McGregor kemudian menambah satu lagi komen yang lain: “Cuba tanya diri awak kenapa saya memakai jersi C.J. padahal saya langsung tak tahu atau ambil peduli pasal bola keranjang. Kerja saya adalah menggelecek kepala di atas lantai. Bukannya bola. Ini bukan perkara main-main tau, dik”.

McGregor sebenarnya memakai jersi lama pasukan Golden State Warrior dan bekas pemain yang memakai jersi bernombor 23 adalah C.J. Watson. Persoalannya adalah mengapa pula McGregor memakai jersi tersebut?

Pada tahun 2012, Mayweather dihukum penjara dua bulan kerana memukul bekas pasangannya Josie Harris. Punca kemarahan Mayweather terhadap Harris ketika itu adalah hubungan sulit Harris dengan Watson.

Adakah perang psikologi ini bakal membuatkan Mayweather terlampau marah dan meninggalkan corak bertinju secara bertahan yang sering diamalkannya? Mungkin rasa geram yang amat sangat pada Mayweather bakal membuatkannya mengamalkan corak menyerang iaitu sesuatu yang tidak biasa bagi Mayweather.

SIAPA PILIHAN PENONTON

Pada hari perlawanan nanti, siapakah menjadi pilihan anda untuk muncul pemenang? Adakah anda akan seperti majoriti peminat sukan yang menyatakan Mayweather akan menang dengan mudah ataupun anda seperti penulis yang yakin McGregor akan mengejutkan dunia sukan pertempuran?

Anda boleh menyaksikan 'pertarungan terhebat dalam sejarah' ini secara langsung menerusi Astro Go dan Astro Pay-Per-View Saluran 200 pada 27 Ogos (waktu Malaysia) bermula 9 pagi. Ianya boleh dibeli secara 'early bird' pada harga RM53 sebelum 20 Ogos 2017. Sekiranya anda membuat pembelian selepas tarikh tersebut, anda perlu membayar harga asal iaitu RM74.20.
#Tinju
;