Sekilas
- Pelakon Ozlynn Wati menasihati pasangan baru berkahwin supaya sentiasa jujur dan berkomunikasi dengan baik antara satu sama lain.
- Beliau menegaskan suami isteri perlu saling menghormati, tidak menyimpan rahsia, dan menyelesaikan masalah bersama tanpa melibatkan orang luar.
- Ozlynn juga mengingatkan pentingnya ilmu agama dan saling membantu untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga.
Pelakon, Ozlynn Wati mencuri perhatian selepas memberi respon pada sebuah hantaran milik seorang pengguna di Threads yang bertanyakan mengenai nasihat untuk orang yang baru ingin mendirikan rumah tangga.
Menerusi hantaran itu, Ozlynn berpesan bahawa suami isteri perlu berlaku jujur dan mempunyai komunikasi yang baik antara satu sama lain.
“Suami bukan balaci isteri dan bukan hamba abdi. Tiada rahsia dan perlu jujur. Apa yang kau tak suka semua kena cakap direct tetapi dengan penuh adab.
“Paling penting, korang jadi la apa sahaja. Kalau lelaki nak kau jadi skandal, jadilah skandal. Kalau bini nak kau jadi geng gosip, kau jadilah geng gosip dia,”tulisnya.
Dalam masa sama, Ozlynn turut menasihati agar masalah rumah tangga tidak dikongsikan pada orang luar dan sebaikanya diselesaikan bersama dengan cara yang baik.
“Masalah perlu dibincang bersama sama dan bukan mengadu domba dekat kawan-kawan rapat. Rajin jemaah dan mengaji bersama. Ilmu agama paling utama dan jangan malas. Kena saling menolong,”katanya.
Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi netizen yang rata-rata bersetuju dengan Ozlynn sambil menggagap ia adalah cara yang terbaik mengekalkan ‘spark’ dalam hubungan rumah tangga.