Sekilas
- Jaguh Muay Thai Malaysia, Aliff Rakib, mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama memenangi gelaran dunia ONE Championship selepas menewaskan legenda Thailand, Sam-A Gaiyanghadao.
- Aliff menamatkan pertarungan dengan kemenangan knockout pada pusingan kelima di acara ONE: The Inner Circle 23 di Stadium Lumpinee, Bangkok.
- Kejayaan ini hasil pengorbanan Aliff yang berpindah ke Bangkok untuk latihan intensif dan membawa pulang kejuaraan dunia pertama Malaysia dalam ONE Championship.
Jaguh Muay Thai negara, Aliff Rakib meluahkan rasa syukur selepas mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama yang merangkul gelaran dunia ONE Championship.
Dalam satu hantaran di Instagram, Aliff menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang perjalanan kariernya.
"Alhamdulillah... untuk Malaysia. Akhirnya saya dapat bawa balik tali pinggang ini ke Malaysia. Alhamdulillah, terima kasih. Terima kasih atas semua sokongan," katanya.
Terdahulu, Aliff atau lebih dikenali sebagai Aliff Sor Dechapan mencipta sejarah apabila menewaskan legenda Muay Thai Thailand, Sam-A Gaiyanghadao, bagi merebut Kejuaraan Dunia Interim Muay Thai Strawweight ONE Championship pada acara ONE: The Inner Circle 23, yang berlangsung di Stadium Lumpinee, Bangkok, pada Jumaat.
Dalam pertarungan penuh mendebarkan itu, atlet berusia 22 tahun berkenaan menamatkan cabaran lawannya menerusi knockout (KO) pada pusingan kelima, sekali gus mengesahkan dirinya sebagai juara dunia.
Kemenangan tersebut bukan sahaja menghadiahkan Malaysia kejuaraan dunia pertama dalam sejarah ONE Championship, malah mengangkat nama Aliff sebagai antara bintang muda paling menyerlah dalam arena Muay Thai antarabangsa.
Lebih membanggakan, kejayaan itu hadir selepas pengorbanan besar yang dilakukan Aliff apabila meninggalkan tanah air dan berpindah ke Bangkok bagi menyertai kem latihan terkenal Sor Dechapan demi mengejar impian bergelar juara dunia.
Usaha kerasnya mula membuahkan hasil apabila dia mencipta sensasi menerusi siri ONE Friday Fights, sebelum diberikan kontrak bernilai AS$100,000 bersama senarai utama ONE Championship.