Isteri kepada pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim iaitu Nur Syazwani Mizuana Shahril akui tidak mudah untuknya membuat keputusan untuk berpisah dengan suaminya.
Menerusi satu perkongsian di Instagram Story, Syazwani berkongsi ini bukanlah kali pertama dia diceraikan oleh Faisal.
“Tindakan saya hari ini berdasarkan apa yang saya lalui dan kehidupan saya sendiri. Saya yang lebih tahu kehidupan saya.
“Saya telah berkorban seluruh jiwa saya untuk keluarga saya, dari susah sehingga berjaya, dari tidak dikenali kepada seorang yang dipuja, dari sakit sehingga sihat dan kembali ke tahap terbaik. Bukan mudah untuk saya. Malah ini bukan kali pertama, saya pernah diceraikan sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, Syazwani mengakui dirinya berusaha mempertahankan rumah tangga namun terlalu banyak campur tangan pihak luar yang menggugat kebahagiaan mereka.
“Saya cuba pertahankan tapi terlalu banyak campur tangan dan onak dalam kehidupan saya. Tindakan saya hari ini bukan satu keputusan yang senang dibuat.
Advertisement
“Saya telah berusaha namun mungkin ini jalan yang terbaik. Ibu saya disuruh untuk mengambil saya, saya telah dipulangkan kepada ibu saya. Walaupun berat hati, saya ikutkan kehendak dia,” luahnya.
Terdahulu, Nur Syazwani dilaporkan telah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor hari ini pada pukul 2.30 petang.
Difahamkan, proses itu hanyalah sebutan awal dan belum ada keputusan lanjut mengenai status perkahwinan mereka.