Sekilas
- Pickleball Smash 2026 akan diadakan pada 24 Oktober di Pickle Point MY, Jalan Damansara, dengan tujuan menggalakkan gaya hidup aktif dan menyatukan komuniti.
- Acara ini bukan sahaja pertandingan sukan, tetapi juga platform untuk usahawan kecil mempromosikan produk mereka kepada pengunjung.
- Pertandingan melibatkan tiga kategori beregu dengan hadiah keseluruhan RM5,100, sambil menekankan semangat perpaduan dan sokongan komuniti.
Populariti pickleball yang semakin mendapat perhatian bukan sahaja membuka ruang kepada gaya hidup aktif, malah boleh menjadi platform menyatukan komuniti serta membantu usahawan kecil mengembangkan perniagaan.
Semangat itu cuba diketengahkan menerusi Pickleball Smash 2026 anjuran Six7 Pickleball Club bersama Satu Hub Resources yang bakal berlangsung pada 24 Oktober ini di Pickle Point MY, Jalan Damansara.
Pengarah program, Hakim Harun berkata, acara yang berlangsung dari pukul 5 petang hingga 10 malam itu dirangka bukan sekadar sebagai sebuah pertandingan sukan.
Sebaliknya, penganjur mahu mewujudkan ruang yang menghimpunkan masyarakat sambil memberi peluang kepada usahawan baharu dan peniaga kecil memperkenalkan produk mereka.
“Selain menggalakkan orang ramai bersukan dan menjaga kesihatan, kita juga mahu membuka ruang kepada peniaga-peniaga kecil untuk berniaga dan memperkenalkan produk mereka kepada komuniti yang hadir,” katanya.

Sementara itu, pengasas bersama, Shayfullah Azman melihat aktiviti sukan seperti pickleball sebagai medium yang mampu mengeratkan hubungan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Semangat perpaduan bukan hanya tentang mengibarkan Jalur Gemilang, tetapi bagaimana kita dapat merealisasikannya dalam kehidupan.
“Menerusi program ini, kita boleh bersama-sama membina komuniti yang sihat, aktif dan saling menyokong,” katanya.
Pickleball Smash 2026 mempertandingkan tiga kategori iaitu Beregu Lelaki, Beregu Wanita dan Beregu Campuran dengan jumlah hadiah keseluruhan RM5,100.

Selain aksi di gelanggang, acara berkenaan turut membuka ruang kepada pengunjung untuk menyokong usahawan dan peniaga kecil yang mengambil bahagian.
Bagi seorang lagi pengasas bersama, Hariz Nazzir, pendekatan menggabungkan sukan dan komuniti itu selari dengan usaha menggalakkan masyarakat menjalani kehidupan lebih aktif.
“Pickleball yang semakin mendapat perhatian di Malaysia dilihat sebagai salah satu aktiviti yang boleh disertai pelbagai peringkat umur, selain menjadi pilihan riadah yang menyeronokkan.
“Bagi kami juga, slogan ‘Satu Minat, Satu Negara’ membuktikan Pickleball Smash 2026 ini membawa mesej bahawa perpaduan boleh diterjemahkan dalam pelbagai bentuk termasuk melalui sukan dan sokongan ekonomi dalam komuniti,” katanya.
Pickleball Smash 2026 bakal berlangsung di Pickle Point, Lot 2808, Jalan Damansara, Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur pada 24 Oktober ini.