Peguam kepada isteri pemain bola sepak kebangsaan, Nur Syazwani Mizuana Shahril menafikan dakwaan sesetengah pihak mengatakan anak guamnya memfailkan perceraian disebabkan masalah kewangan dan keadaan fizikal Faisal Halim sudah tidak sama seperti dulu.
Peguam, Roshdan Sujak Rafie berkata, pihaknya difahamkan punca perceraian Faisal dan Nur Syazwani Mizuana dipercayai akibat tiada persefahaman dan sudah tidak tinggal sebumbung sejak sebulan lalu.
Advertisement
"Saya ada baca komen netizen mengatakan anak guam fail cerai kerana Faisal tiada duit dan sudah tidak handsome (kacak), semua ini tidak benar.
"Saya dimaklumkan mereka sudah tiada persefahaman," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Ditanya mengenai keadaan anak guamnya ketika ini, Roshdan berkata, Nur Syazwani Mizuana berada dalam keadaan baik kerana sudah bersedia berikutan tahu Faisal ramai peminat yang ingin mengetahui perkembangan mereka.
Roshdan berkata, dalam prosiding di hadapan Hakim Syarie Mohd Hairuddin Ab Rahim di Mahkamah Rendah Syariah Klang, semalam, peguam Faisal memaklumkan pemain Selangor FC itu pernah melafazkan talak di luar mahkamah dan rujuk kembali sesama mereka.
"Anak guam saya memfailkan permohonan cerai, cuma dalam prosiding semalam peguam Faisal memberitahu anak guamnya pernah melafazkan cerai dan rujuk sesama mereka, jadi perlu ada pengesahan dan bicara terlebih dahulu untuk tentukan jumlah talak," katanya.
Katanya, mengenai hak penjagaan anak tunggal mereka, perkara itu tidak dibincangkan lagi berikutan mahu menyelesaikan terlebih dulu mengenai pengesahan lafaz luar mahkamah itu.
Sementara itu, peguam Faisal, Datuk Akberdin Abdul Kader turut mengesahkan punca perceraian kedua-duanya disebabkan tiada persefahaman.
"Ya, itu yang diberitahu sebab tiada persefahaman," katanya.
Menurutnya, Faisal mendakwa pernah melafazkan cerai pada 15 Jun lalu dan rujuk kembali sehari kemudian.
"Mereka tidak mendaftarkan cerai dan rujuk itu, maka prosiding pengesahan lafaz talak luar mahkamah itu perlu dilakukan terlebih dulu," katanya.
Dalam prosiding semalam, Mohd Hairuddin menetapkan 16 Oktober ini untuk sebutan semula kes.
Untuk rekod, Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey berkahwin dengan Nur Syazwani pada 9 Mac 2019 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Khalish Aryan.
Sumber: Harian Metro