Sekilas
- Keluarga Michael Schumacher terus merahsiakan lokasi dan perkembangan terkini juara Formula 1 tujuh kali itu selepas kemalangan ski 12 tahun lalu.
- Schumacher menjalani rawatan berterusan di rumah dengan akses lawatan yang sangat terhad dan keluarganya enggan mendedahkan keadaan sebenar kepada umum.
- Keluarga Schumacher menang kes undang-undang terhadap majalah Jerman yang menerbitkan temu bual palsu menggunakan teknologi AI.
Harapan peminat untuk melihat serta mengetahui perkembangan terkini juara Formula 1 (F1) sebanyak tujuh kali, Michael Schumacher dilihat semakin tipis apabila keluarganya memilih untuk terus merahsiakan lokasinya.
Menurut rakan rapat kepada Michael iaitu Richard Hopkins, keluarga Schumacher memilih untuk mengekalkan privasi selepas insiden kemalangan ski yang melibatkan Schumacher 12 tahun lalu.
Richard yang juga pernah menjadi ketua operasi kepada Red Bulls walau bagaimanapun menghormati segala keputusan yang dibuat keluarga Schumacher.
“Saya tidak dengar sebarang perkembangan baharu. Saya tahu ada doktor peribadi dari Finland yang merawatnya.
“Saya rasa harapan untuk melihat Michael semula sangat tipis,” katanya.
Sekadar info, Schumacher menjalani dua pembedahan akibat kecederaan otak traumatik selepas mengalami hentakan pada batu ketika bercuti bersama anaknya, Mick, di kawasan pergunungan Alps, Perancis pada 2013.
Sehinggalah pada tahun 2014, Schumacher dikatakan kembali sedar namun keluarganya memilih untuk tidak mendedahkan keadaan terkininya kepada umum.
Michael juga difahamkan menerima rawatan berterusan di kediaman keluarganya dengan akses lawatan yang sangat terhad.
Terbaharu, keluarga Schumacher berjaya memenangi kes undang-undang terhadap majalah selebriti Jerman, Die Aktuelle yang menerbitkan temu bual palsu bersama Schumacher yang sebenarnya dihasilkan dengan menggunakan Artificial Intelligence (AI).
Sumber: sportbible