Sekilas
- Yoo Ji Won, seorang pempengaruh larian dan pelajar pascasiswazah di KAIST, meninggal dunia selepas rebah ketika acara separuh maraton 2026 Seoul Race.
- Dia mengalami kecemasan di kilometer 20.6 dan walaupun diberi bantuan kecemasan serta CPR, dia disahkan meninggal dunia di hospital pada hari yang sama.
- Yoo Ji Won pernah menamatkan maraton penuh Seoul dengan catatan masa sub-3 jam, dan berita pemergiannya mendapat reaksi takziah daripada peminat di media sosial.
Seorang pempengaruh larian, Yoo Ji Won, meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai acara separuh maraton 2026 Seoul Race pada 11 Oktober lalu.
Kematian Ji Woon diumumkan menerusi kenyataan yang dikeluarkan Jawatankuasa Penganjur Seoul Race pada 12 Oktober memaklumkan peserta berkenaan mengalami kecemasan ketika berada di kilometer 20.6 iaitu kira-kira 500 meter sebelum garisan penamat.
“Selepas menerima bantuan kecemasan awal di lokasi, peserta itu dibawa ke hospital menggunakan ambulans 119 untuk mendapatkan rawatan. Bagaimanapun, dia disahkan meninggal dunia,” menurut kenyataan tersebut seperti dilaporkan Koreoboo.
Pihak penganjur turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang yang berdepan kehilangan secara mengejut, selain mendoakan agar mendiang bersemadi dengan tenang.
Menurut laporan, petugas perubatan yang berada di lokasi segera memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dan rawatan awal sebaik sahaja peserta berkenaan tidak sedarkan diri.
Bagaimanapun, mangsa gagal memberikan sebarang tindak balas sebelum dikejarkan ke hospital. Pempengaruh tersebut kemudian disahkan meninggal dunia pada hari yang sama.
Susulan insiden yang tidak terduga itu berlaku, identiti peserta sebagai Yoo Ji Won, pempengaruh larian yang dilahirkan pada 2001 dan merupakan pelajar pascasiswazah di Institut Sains dan Teknologi Termaju Korea (KAIST).
Mendiang menjalankan penyelidikan dalam bidang semikonduktor kecerdasan buatan (AI) selain aktif sebagai pelari amatur.
Lebih menyedihkan, dia sebelum ini berjaya menamatkan acara maraton penuh 2026 Seoul Marathon pada 15 Mac lalu dengan catatan masa dua jam, 56 minit dan 32 saat.
Pencapaian itu membolehkan mendiang meraih status sub-3 iaitu berjaya menamatkan maraton penuh dalam tempoh kurang daripada tiga jam.
Berita pemergiannya membuat peminat dan pengikutnya di media sosial terkejut sebelum membanjiri akaun media sosial mendiang dengan ucapan takziah serta penghormatan terakhir.