Sekilas
- Selepas Argentina layak ke final Piala Dunia 2026, perhatian kini tertumpu pada pertembungan antara Lionel Messi dan bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal.
- Foto tular menunjukkan Messi pernah mendukung dan memandikan bayi Yamal dalam sesi fotografi amal pada tahun 2007.
- Momen itu berlaku semasa projek amal bersama Barcelona dan UNICEF, yang kini dianggap antara gambar paling bermakna dalam sejarah bola sepak.
Selepas Argentina menewaskan England 2-1 untuk mengesahkan tempat ke final Piala Dunia 2026, tumpuan peminat kini terarah kepada pertembungan dua generasi apabila Lionel Messi bakal mengetuai Argentina menentang Sepanyol yang dibarisiLamine Yamal.
Namun, di sebalik ‘kisah serius’ itu, internet kini tular dengan beberapa foto kedua-dua bintang tersebut rupanya pernah bertemu dan bekerjasama di luar padang sekitar 19 tahun lalu!
Foto yang menjadi tular dan perbualan terutama dalam kalangan peminat bola sepak itu antaranya menyaksikan Messi mendukung dan memandikan seorang bayi untuk sesi fotografi amal pada 2007.
Dan bayi itu adalah Yamal, bintang bola sepak sensasi muda Sepanyol, yang akan berdepan dengannya di final Piala Dunia.
CNN melaporkan momen ikonik tersebut berlaku sewaktu akhbar Catalan Diario Sport bersama UNICEF menganjurkan sesi fotografi amal melibatkan pemain Barcelona dan beberapa keluarga yang dipilih menerusi cabutan bertuah.
Ketika itu, Messi baru berusia 20 tahun dan sedang mencipta nama bersama Barcelona. Antara keluarga yang hadir ialah Sheila Ebana dan Mounir Nasraoui yang membawa bayi lelaki mereka ke Camp Nou.

Mereka menyertai cabutan bertuah untuk bergambar dengan pemain Barcelona dan mereka menang.
Bayi itu tidak lain dan tidak bukan ialah Lamine Yamal.
Dalam salah satu gambar yang kini menjadi ikonik, Messi dilihat tersenyum sambil memandikan Yamal dalam sebuah tab kecil untuk menjayakan konsep fotografi tersebut.
Siapa sangka, gambar yang pada mulanya sekadar projek amal kini dianggap antara foto paling bermakna dalam sejarah bola sepak yang pernah dirakamkan juru gambarJoan Monfort.