Sekilas
- Malaysia akan menjadi tuan rumah Grand Prix Bahrain Formula 1 pada 2 hingga 4 Oktober 2026 di Litar Antarabangsa Sepang.
- Perlumbaan ini dianjurkan hasil kerjasama antara Formula 1, FIA, Kerajaan Bahrain dan Kerajaan Malaysia bagi memastikan kelangsungan Grand Prix Bahrain.
- Litar Sepang pernah menjadi tuan rumah Formula 1 dari 1999 hingga 2017 dan kini kembali dalam kalendar perlumbaan dunia.
Penantian peminat sukan permotoran tanah air akhirnya berakhir apabila Formula Satu (F1) dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengesahkan Malaysia kembali menjadi tuan rumah perlumbaan Formula Satu menerusi penganjuran Grand Prix Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2 hingga 4 Oktober 2026.
Menerusi kenyataan rasmi di laman sesawang Formula 1, perlumbaan tersebut akan dikenali sebagai Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia, tertakluk kepada pemeteraian perjanjian akhir serta kelulusan Majlis Sukan Permotoran Dunia (World Motor Sport Council).
Penganjuran itu merupakan hasil kerjasama antara Formula 1, FIA, Kerajaan Bahrain dan Kerajaan Malaysia bagi memastikan Grand Prix Bahrain dapat diteruskan meskipun tidak dapat dianjurkan di negara berkenaan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1, Stefano Domenicali berkata, pihaknya gembira dapat mengesahkan kepulangan Malaysia ke dalam kalendar Formula Satu.
“Kami berbesar hati mengesahkan Malaysia akan menjadi tuan rumah Grand Prix Bahrain pada 2026.
“Sekali lagi sukan ini membuktikan keupayaannya menyesuaikan diri, mencari penyelesaian dan memastikan perlumbaan dapat diteruskan demi peminat Formula Satu di seluruh dunia,” katanya.
Stefano turut merakamkan penghargaan kepada Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al Khalifa, Putera Mahkota Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al Khalifa, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta kerajaan kedua-dua negara atas kerjasama menjayakan penganjuran tersebut.
Menurut Stefano lagi, kepulangan Formula Satu ke Sepang merupakan berita menggembirakan buat peminat kerana litar itu mempunyai tempat istimewa dalam sejarah sukan berkenaan.
“Malaysia ialah sebuah negara yang luar biasa dan Sepang sentiasa menjadi antara litar ikonik Formula Satu.
“Kami yakin perlumbaan ini akan menawarkan aksi hebat serta pengalaman yang tidak dapat dilupakan kepada peminat di litar mahupun di seluruh dunia,” ujarnya.
Presiden FIA, Mohammed Ben Sulayem pula menyifatkan kerjasama tersebut sebagai bukti hubungan kukuh antara badan induk sukan permotoran itu dengan Malaysia.
“Malaysia mempunyai sejarah panjang dalam Formula Satu dan kepulangan kejohanan dunia ini ke Sepang membuktikan hubungan erat kami dengan Persatuan Sukan Bermotor Malaysia serta komitmen berterusan kerajaan Malaysia dalam pembangunan sukan permotoran,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penganjuran tersebut bukan sekadar acara sukan bertaraf dunia, malah melambangkan hubungan erat antara Malaysia dan Bahrain.
“Kami berbesar hati dapat membantu Kerajaan Bahrain, Formula 1 dan FIA menganjurkan Grand Prix Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang.
“Malaysia bersedia mengalu-alukan kembali Formula Satu, FIA, semua pasukan serta peminat dari seluruh dunia ke Sepang sambil mempamerkan infrastruktur bertaraf dunia, kecekapan operasi dan layanan mesra rakyat Malaysia,” katanya.
Untuk rekod, Litar Antarabangsa Sepang mula menjadi tuan rumah Formula Satu pada 1999 sebelum kali terakhir menganjurkan perlumbaan tersebut pada 2017.
Maklumat mengenai penjualan tiket bagi perlumbaan berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat.
Sumber: formula1.com