Sekilas
- Jaguh Muay Thai Malaysia, Aliff Rakib, berpeluang bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya sebagai penghormatan besar dalam kariernya.
- Aliff mencipta sejarah menewaskan legenda Muay Thai Thailand, Sam-A Gaiyanghadao, untuk memenangi Kejuaraan Dunia Interim Muay Thai Strawweight ONE Championship.
- Kejayaan Aliff datang selepas pengorbanan besar meninggalkan Malaysia dan menyertai kem latihan Sor Dechapan di Bangkok, serta menerima kontrak bernilai AS$100,000 dengan ONE Championship.
Jaguh Muay Thai negara, Aliff Rakib meluahkan rasa syukur apabila berpeluang mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Putrajaya pada khamis.
Menerusi satu perkongsian di Threads, Aliff menyifatkan pertemuan tersebut sebagai satu penghormatan besar dalam perjalanan kariernya sebagai atlet yang mewakili negara di pentas antarabangsa.
“Alhamdulillah, hari ini (Khamis) saya berpeluang bertemu dengan YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, di Putrajaya.
“Ia merupakan satu penghormatan yang amat bermakna buat saya dan menjadi pembakar semangat untuk terus berjuang, mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia,” tulisnya.
Dalam masa sama, Aliff tidak lupa merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang perjalanan kariernya.
“Terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan dan menyokong perjalanan saya. Insya-Allah, saya akan terus memberikan yang terbaik demi negara,” ujarnya.
Terdahulu, Aliff atau lebih dikenali sebagai Aliff Sor Dechapan mencipta sejarah apabila menewaskan legenda Muay Thai Thailand, Sam-A Gaiyanghadao, bagi merebut Kejuaraan Dunia Interim Muay Thai Strawweight ONE Championship pada acara ONE: The Inner Circle 23, yang berlangsung di Stadium Lumpinee, Bangkok, pada Jumaat.
Dalam pertarungan penuh mendebarkan itu, atlet berusia 22 tahun berkenaan menamatkan cabaran lawannya menerusi knockout (KO) pada pusingan kelima, sekali gus mengesahkan dirinya sebagai juara dunia.
Kemenangan tersebut bukan sahaja menghadiahkan Malaysia kejuaraan dunia pertama dalam sejarah ONE Championship, malah mengangkat nama Aliff sebagai antara bintang muda paling menyerlah dalam arena Muay Thai antarabangsa.
Lebih membanggakan, kejayaan itu hadir selepas pengorbanan besar yang dilakukan Aliff apabila meninggalkan tanah air dan berpindah ke Bangkok bagi menyertai kem latihan terkenal Sor Dechapan demi mengejar impian bergelar juara dunia.
Usaha kerasnya mula membuahkan hasil apabila dia mencipta sensasi menerusi siri ONE Friday Fights, sebelum diberikan kontrak bernilai AS$100,000 bersama senarai utama ONE Championship.