Sekilas
- Aliff Rakib mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama memenangi gelaran dunia ONE Championship selepas menewaskan legenda Muay Thai Thailand, Sam-A Gaiyanghadao, menerusi knockout pusingan kelima.
- Beliau mengorbankan kehidupan di Malaysia untuk berlatih di kem Sor Dechapan di Bangkok dan kini diiktiraf sebagai bintang baharu dalam sukan Muay Thai dunia.
- Kemenangan ini membuka peluang Aliff untuk menentang juara dunia strawweight, Prajanchai PK Saenchai, dalam aksi penyatuan gelaran selepas juara itu pulih daripada kecederaan.
Jaguh muay thai negara Aliff Rakib mencipta sejarah apabila muncul rakyat Malaysia pertama merangkul gelaran dunia ONE Championship selepas menewaskan legenda Muay Thai Thailand, Sam-A Gaiyanghadao, bagi merebut Kejuaraan Dunia Interim Muay Thai Strawweight pada acara ONE: The Inner Circle 23, pada Jumaat.
Aksi yang berlangsung di Stadium Lumpinee, Bangkok, itu menyaksikan Aliff yang lebih dikenali sebagai Aliff Sor Dechapan menumpaskan lawannya menerusi knockout pada pusingan kelima.
Kemenangan itu bukan sahaja menyaksikan Aliff menghadiahkan Malaysia kejuaraan dunia pertama dalam sejarah ONE Championship, malah mengesahkan statusnya sebagai antara bintang baharu paling menyerlah dalam sukan Muay Thai dunia.
Kejayaan itu menjadi kemuncak perjalanan luar biasa anak muda berusia 22 tahun itu yang sebelum ini mengorbankan kehidupan di tanah air untuk berpindah ke Bangkok dan menyertai kem terkenal Sor Dechapan, demi mengejar impian bergelar juara dunia.
Selepas mencipta sensasi dalam siri ONE Friday Fights sebelum diberikan kontrak bernilai AS$100,000 bersama senarai utama ONE Championship, Aliff terus mengumpul kemenangan ke atas beberapa nama besar sehingga melayakkannya menerima peluang merebut gelaran dunia sementara.
Dengan kemenangan itu, Aliff kini dijangka menentang juara dunia strawweight Muay Thai, Prajanchai PK Saenchai, dalam aksi penyatuan gelaran sebaik juara berkenaan kembali daripada kecederaan.
Sebelum pertarungan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut menzahirkan sokongan kepada Aliff sambil menggesa rakyat Malaysia berdiri di belakang wakil negara itu dalam usahanya memburu gelaran dunia.
Malam ini, Aliff bukan sekadar memenuhi impian peribadinya.
Beliau turut menghadiahkan satu detik bersejarah buat arena Muay Thai negara apabila muncul rakyat Malaysia pertama bergelar juara dunia ONE Championship.
Sumber: Astro AWANI