Skip to main content

Selebriti

Tak Kecewa Digelar Artis Sendu, Fieya Julia Akui Lebih Selesa Dengan Kehidupan Sekarang - "Kalau Terlalu Popular Pun Susah..."

Bakar isteri

Sekilas

  • Fieya Julia memilih untuk melangkah perlahan dalam industri muzik dan lebih menghargai kehidupan yang tenang tanpa terlalu menjadi perhatian umum.
  • Dia kini lebih fokus kepada penulisan lagu dan penciptaan karya serta mencuba bidang penstriman permainan video untuk menarik peminat baharu.
  • Fieya baru melancarkan single terbaru berjudul Doa Untuk Ibu yang sangat peribadi, berkaitan dengan kehilangan ibunya sejak kecil.

Saat ramai selebriti berlumba-lumba mengejar populariti dan perhatian, penyanyi Fieya Julia memilih melangkah perlahan dalam dunia seni, bagi menikmati kehidupan lebih tenang dan jauh daripada sorotan berlebihan.

Gelaran 'artis sendu' yang sering menjadi bahan dalam media sosial mungkin menyakitkan buat segelintir anak seni, namun, tidak bagi Fieya atau nama sebenar, Nur Syafiyah Sejali, 27, yang melihat tuduhan itu dari sudut lebih matang dan positif.

Menurut anak kelahiran Bumi Kenyalang ini, setiap anak seni mempunyai perjalanan turun naik dalam industri hiburan.

Fieya mengaku tidak pernah menganggap gelaran 'artis sendu' sebagai sesuatu yang menjatuhkan semangat, sebalik, dia bersyukur masih mampu bertahan dan terus berkarya hingga hari ini.

"Secara jujurnya, saya tidak pernah rasa terguris atau kecewa bila ada orang cakap, saya artis sendu atau seangkatan dengannya. Perkara ini normal dalam industri muzik.

"Ada masa kita di bawah, ada masa kita di atas. Bagi saya, menjadi Fieya Julia ini pun sudah lebih daripada apa yang saya jangka. Saya buat lagu sebab memang dari kecil saya minat muzik.

"Jadi, apabila dapat masuk industri muzik tempatan sudah menjadi satu pencapaian besar dalam hidup saya," katanya kepada BH Online.

Pelantun lagu Cukup ini berkata, dia kini lebih menghargai kehidupan yang tidak terlalu menjadi perhatian umum kerana populariti melampau mempunyai sisi sukar tersendiri.

"Saya selesa dengan kehidupan sekarang. Popular itu bagus dan memberi peluang sebagai selebriti terutama untuk mempromosikan karya, tetapi, kalau terlalu popular pun kadang-kadang susah juga.

"Setiap gerak geri kita, apa yang dikongsi di media sosial, semua orang akan perhatikan. Orang pun mahu tahu macam-macam mengenai hidup kita.

"Jadi, kalau hidup saya tidak terlalu jadi perhatian atau orang label sebagai artis sendu sekali pun, saya okay sahaja sebab lebih suka kehidupan privasi," ujarnya.

Ditanya strategi untuk kekal relevan dalam industri muzik yang semakin dipenuhi bakat baharu, Fieya lebih terbuka meneroka pelbagai cabang lain selain nyanyian.

Katanya, minatnya kini lebih terarah kepada bidang penulisan lagu dan penciptaan karya.

"Kalau ikut jiwa, saya memang lebih kepada menulis lagu. Kalau ada peluang untuk hasilkan lagu, saya akan lebih utamakan itu berbanding menyanyi.

"Saya pun masih muda dan solo, jadi saya fikir ini masa terbaik untuk cuba banyak benda baharu," katanya.

Selain itu, Fieya turut mencuba bidang penstriman permainan video sebagai usaha membina semula namanya dalam kalangan generasi muda.

"Saya pernah bina semula nama menerusi penstriman permainan video. Dari situ, saya dapat peminat baharu. Secara tidak langsung, saya juga boleh promosikan lagu dan perkenalkan diri sebagai penyanyi," katanya.

Dalam mengembangkan bakat sebagai komposer dan penulis lagu, Fieya sedang menghasilkan karya untuk artis di bawah syarikat rakamannya, Aries Music termasuk penyanyi Siti Nur Qhadijah.

Dalam perkembangan lain, Fieya baru tampil dengan single baharu berjudul Doa Untuk Ibu yang dilancarkan awal Mei lalu di semua platform digital.

Fieya menganggap lagu menjadi karya paling peribadi pernah dihasilkan kerana berkait rapat dengan kisah hidup sendiri berikutan kehilangan ibu sejak kecil.

"Kalau orang dengar lirik, mungkin mereka fikir single ini khas untuk ibu sahaja. Sebenarnya, lagu ini ditujukan buat ibu yang sudah pergi selama-lamanya.

"Saya membesar tanpa ibu sejak usia lima tahun, jadi saya memang sangat 'relate' dengan lagu ini," katanya.

Fieya mula mengasah bakatnya dalam bidang nyanyian sejak berusia 11 tahun dan pernah menyertai Bintang Kecil RTM Peringkat Negeri Sarawak pada 2010.

Sumber: Berita Harian



 

Anda mungkin berminat dengan

POP MART Angry Molly - Angry Energy Series Plush Pendant Blind Box

POP MART Angry Molly - Angry Energy Series Plush Pendant Blind Box

Kikilala Baby Boy Suit Sets World Cup BSB587

Kikilala Baby Boy Suit Sets World Cup BSB587

GRAPHIC Super PUMA Pocket T-Shirt Men in Dusky Gray, L

GRAPHIC Super PUMA Pocket T-Shirt Men in Dusky Gray, L

Rezeki Bersama RM5

Rezeki Bersama RM5

Yonex OCM 2025 Men's Training Tee 3525

Yonex OCM 2025 Men's Training Tee 3525

adidas Football Manchester United 24/25 Third Jersey Men White IY7806

adidas Football Manchester United 24/25 Third Jersey Men White IY7806

Must Watch Video

Advertisement