Sekilas
- Adira Suhaimi menerima kritikan netizen mengenai kemenangan anaknya, Anggrek, dalam Talk To My Manager 2 dengan hati terbuka dan menghormati keputusan juri profesional.
- Adira menegaskan dia mengawal penggunaan media sosial Anggrek untuk melindungi emosi anaknya daripada komen negatif dan memastikan keseimbangan antara agama, pelajaran, dan minatnya.
- Anggrek dan Adira diumumkan sebagai juara TTMM2, manakala peserta lain seperti Hussain, Datuk Seri Vida, dan Safura turut mendapat tempat dalam pertandingan tersebut.
Penyanyi, Adira Suhaimi terbuka menerima sebarang kritikan netizen berhubung kemenangan anaknya, Anggrek menerusi Talk To My Manager 2 (TTMM2).
Adira, 34, berkata dia menganggap kejayaan itu sebagai rezeki yang telah ditetapkan buat anaknya dan menghormati pandangan orang ramai meskipun tidak semua bersetuju dengan keputusan pertandingan berkenaan.
“Saya anggap kemenangan ini sebagai rezeki Anggrek. Setiap orang ada rezeki masing-masing. Jika ada netizen yang mempertikaikan keputusan tersebut, saya tidak boleh berbuat apa-apa kerana keputusan dibuat oleh juri profesional.
“Saya menerima dengan hati yang terbuka. Saya faham bukan semua orang akan berpuas hati, bukan semua orang akan suka atau bersetuju dengan sesuatu keputusan.
“Apa yang penting, Anggrek sudah memberikan yang terbaik dan melakukan apa yang termampu. Jika ada yang menyukai persembahannya, Alhamdulillah. Jika sebaliknya, saya tidak terlalu mengambil hati,” katanya kepada Gempak.
Adira berkata demikian ketika ditemui pada program MeleTOP yang berlangsung di Studio 1, Astro Bukit Jalil, pada Selasa.
Selain kemenangan Anggrek yang menjadi perdebatan netizen, terdapat juga segelintir pihak yang menyentuh soal agama apabila beranggapan kanak-kanak seusianya masih terlalu muda untuk terlibat dalam dunia hiburan yang dianggap sebagai maksiat duniawi.
Mengulas perkara itu, pelantun lagu Sayang Orang Yang Sama tersebut menegaskan, sebagai ibu, dia lebih mengetahui cara terbaik untuk membentuk dan mendidik anaknya agar tidak terpesong daripada landasan yang betul.
“Sebagai seorang ibu, saya tahu bagaimana untuk mencorakkan kehidupan anak saya. Saya juga berharap orang ramai dapat mendoakan yang terbaik buat Anggrek.
“Bagi saya, nyanyian adalah minat dan hobinya. Sebagai ibu, saya perlu menyokong apa yang diminatinya. Tidak mungkin saya mahu menghalangnya jika dia benar-benar meminati bidang tersebut.
“Saya akan sentiasa berada di belakang Anggrek selagi perkara yang dilakukannya tidak memudaratkan dirinya. Pada masa sama, saya tetap akan memastikan keseimbangan antara agama, pelajaran dan minatnya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Adira turut mengambil langkah mengawal penggunaan media sosial anaknya bagi mengelakkan Anggrek terdedah kepada komen negatif yang boleh memberi kesan terhadap emosinya.
Adira berkata, fokus utamanya ketika ini adalah memastikan Anggrek dapat menikmati pengalaman dalam bidang yang diminatinya selain menitikberatkan aspek pendidikan serta agama.
“Saya tidak membaca setiap komen secara terperinci, tetapi kadang-kadang ada juga perkara yang sampai kepada saya melalui orang sekeliling.
“Sebelum menyertai program ini lagi saya sudah bersedia dengan segala kemungkinan. Saya sendiri pernah melalui fasa dikenali dan berdepan pelbagai komen daripada orang ramai.
“Bagi saya dan Anggrek, kami tidak mahu terlalu memikirkan perkara negatif kerana masih ramai yang memberikan sokongan dan kata-kata positif. Yang baik kita ambil, manakala yang buruk kita ketepikan.
“Saya memang mengawal penggunaan media sosialnya. Pada masa sama, saya rasa Anggrek juga seorang anak yang memahami bagaimana media sosial berfungsi,” katanya lagi.
Pada malam final TTMM2, Anggrek dan Adira diumumkan sebagai juara manakala Hussain dan bapanya selaku pengurusnya, Jamilulhayat.
Datuk Seri Vida bersama Cik B di tempat ketiga, Datuk A. Aida bersama Azeva tidak pulang kosong apabila berada di tempat keempat manakala Safura dan anak lelakinya Kim Khairii sekadar berpuas hati di tangga kelima.
TTMM2 The Grand Finale dikendalikan Datuk Aznil Nawawi selaku pengacara selain barisan juri, Che Puan Sarimah serta Datuk AC Mizal bersama juri jemputan, Datuk Syafinaz dan Hael Husaini.