Sekilas
- Datuk Seri Siti Nurhaliza menerima Lifetime Achievement Award pada Malam Gala AFFIN INVIKTA Top 50 Women of Excellence Awards 2025 sebagai penghargaan atas sumbangan hampir tiga dekad dalam industri seni dan inspirasi kepada generasi akan datang.
- Acara ini meraikan 50 wanita cemerlang dari pelbagai bidang yang memberi impak besar kepada pembangunan negara dan disokong oleh AFFIN Bank serta Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.
- TOP50 Media Synergy merancang untuk terus memperluas impak anugerah melalui program kepimpinan, keusahawanan, dan pembangunan komuniti bagi mengukuhkan peranan wanita dalam ekonomi dan masyarakat Malaysia.
Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza menzahirkan rasa syukur menerima anugerah khas Lifetime Achievement Award pada Malam Gala AFFIN INVIKTA Top 50 Women of Excellence Awards 2025 di Kuala Lumpur pada Rabu.
Anugerah yang diberikan itu seiring dengan kejayaan figura yang disegani ramai itu yang sudah membina nama dalam industri seni tempatan selama hampir tiga dekad dan pada masa sama berjaya memberikan inspirasi kepada generasi masa hadapan.
"Saya bersyukur dan berterima kasih untuk anugerah ini. Saya harap pencapaian ini akan menjadi inspirasi kepada wanita di luar sana kerana wanita hari ini bukan lagi hanya duduk di dapur tapi juga berada di barisan hadapan.
"Apabila ada penganjur yang menghargai wanita hebat dalam negara ini, secara tidak langsung membuatkan semua wanita mampu berdiri sama tinggi dan membantu menjana ekonomi negara.
"Setiap wanita termasuk suri rumah perlu kita hargai sebab pengorbanan mereka sangat besar. Walau kita tahu mereka duduk rumah, tapi tanggungjawab yang mereka jalankan cukup luar biasa," katanya kepada Gempak.
Malam penganugerahan AFFIN INVIKTA TOP50 Women of Excellence Awards 2025 meraikan 50 figura wanita luar biasa yang telah memberikan impak besar dalam pembangunan negara.
Para penerima anugerah mewakili pelbagai disiplin termasuk perniagaan, sains, seni, sukan, tadbir urus, khidmat masyarakat serta bidang profesional lain yang menyumbang kepada kemajuan Malaysia di peringkat nasional dan antarabangsa.
Anugerah yang dianjurkan oleh TOP50 Media Synergy Sdn Bhd dengan kerjasama strategik eksklusif AFFIN INVIKTA daripada Affin Bank Berhad serta sokongan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia ini terus memperkukuh reputasinya sebagai antara platform pengiktirafan wanita paling berprestij di negara ini.
Daripada lebih 300 pencalonan yang diterima tahun ini, antara penerima anugerah yang menjadi tumpuan termasuk pemenang Anugerah Grammy, Tan Sri Michelle Yeoh, bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Menteri MITI, Tan Sri Rafidah Aziz, pengasas bersama Grab Tan Hooi Ling, YAM Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah, ikon muzik Datuk Sheila Majid, jaguh Olimpik negara Pandelela Rinong, pakar bedah serta advokat kesihatan Dr Amalina Bakri dan tokoh perubatan Tan Sri Dato Seri Dr Robaayah Zambahari.
Pemilihan kesemua penerima dibuat berdasarkan kecemerlangan kepimpinan, kesan sumbangan serta komitmen memperkukuh imej Malaysia di pentas dunia.
Pengasas TOP50 Media Synergy, Kishvin Sirinavin, berkata platform ini diwujudkan bagi meraikan bukan sahaja kejayaan wanita, tetapi juga warisan pemimpin masa depan.
“Malam ini meraikan legasi. Apabila wanita melangkah maju, negara juga bergerak ke hadapan. Top50 bukan sekadar anugerah, tetapi sebuah gerakan,” katanya.
Inisiatif ini turut selari dengan agenda AFFIN INVIKTA dalam memperkukuh kepimpinan, keusahawanan, kestabilan kewangan serta peranan ekonomi wanita Malaysia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN Bank, Datuk Wan Razly Abdullah, menegaskan komitmen mereka dalam mengangkat wanita negara.
“Kami berbangga berdiri bersama wanita unggul Malaysia. Usaha ini mencerminkan dedikasi kami terhadap kepimpinan dan keterlihatan wanita,” katanya.
Penganjuran ini juga menyokong Dasar Wanita Negara serta Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025–2030, seiring aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan penyertaan inklusif wanita dalam semua sektor.
Sebagai kesinambungan, TOP50 Media Synergy bakal memperluas impak anugerah melalui pelbagai program termasuk Women of Excellence Legacy Series 2026, siri forum kepimpinan suku tahunan, Women Entrepreneurship Accelerator, program mentorship belia, inisiatif CSR berfokus pendidikan dan pembangunan komuniti, serta penganjuran berskala antarabangsa.
Program lanjutan ini memastikan nilai dan momentum platform TOP50 diteruskan sepanjang tahun.
Kemuncak acara menyaksikan penganugerahan Lifetime Achievement Award kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya yang melangkaui lapangan seni dan keusahawanan serta inspirasi yang dibawanya kepada generasi masa depan.