Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Kurang Dari Sebulan, Akma Suriati Siapkan 24 Kostum The Masked Singer Malaysia

Zulaikha Yusof
24/09/2020 01:33 MYT
Pereka kostum dan penatarias Akma Suriati Awang mendedahkan dia perlu menyiapkan 24 kostum untuk program The Masked Singer Malaysia dalam masa yang singkat.

Jelas Akma, untuk mempercepatkan proses itu dia terpaksa mengambil 35 orang krew yang pakar untuk bekerja bersama-samanya.

"Memang susah nak siapkan sebab setiap kostum itu berbeza. Saya kena siapkan 24 kostum, termasuk untuk penggambaran luar.

"Biasanya saya buat satu maskot memerlukan masa selama tiga minggu hingga sebulan untuk siapkan.

"Tetapi disebabkan kesuntukan masa, saya perlu mencari alternatif lain supaya siap dalam tempoh masa yang diberikan.

"Kami mula pada awal bulan Ogos. Dalam masa dua hari kami kena siapkan dua maskot.

"Saya terpaksa menggunakan tenaga kerja yang ramai dalam 35 orang. Kami bekerja mengikut sistem syif sebab nak kekalkan tenaga.

"Alhamdulillah semua ada kepakaran masing-masing, kerja pun jadi mudah," katanya kepada Gempak.

Tambah Akma, dia juga berdepan dengan cabaran apabila bahan yang ingin digunakan sangat terhad.

"Sekarang ini pula tak boleh nak dapatkan bahan dari luar negara kerana Covid-19.

"Saya gunakan barang yang memang dah ada, nasib baik stok banyak. Dekat Malaysia memang susah dapat jadi bila pergi melancong saya akan beli.

"Ada juga saya minta bahan dari kawan-kawan. Kalau nak beli atas talian memang lambat sampai. Mencabar la untuk saya dengan bahan dan masa yang terhad ini," katanya lagi.

Sekadar makluman, Akma memiliki lebih 33 tahun pengalaman dalam rekaan dan perundingan fesyen.

Selain berkarya sebagai penatarias industri filem, dia juga bertanggungjawab untuk rekaan kostum untuk pelbagai produksi teater mega seperti Hikayat Merong Mahawangsa, Siti Di Alam Fantasi, Mahsuri, Puteri Gunung Ledang, dan ‘Chow Kit Road’.

The Masked Singer Malaysia yang dibawakan oleh SK magic dan Oppo selaku penaja utama itu bersiaran menerusi saluran Astro Warna (CH127) dan Warna HD (CH107) iaitu pada setiap Jumaat, jam 9 malam.

Program ini juga boleh distrim secara eksklusif melalui aplikasi Astro GO dan kemudahan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

BACA: Jom Kenali Dulu Kostum Yang Digunakan Dalam The Masked Singer Malaysia

#Kostum #The Masked Singer Malaysia
;