The Masked Singer
The Masked Singer Malaysia: Aina Abdul Jangka Rajah Brooke Juara, "Saya Boleh Rasa Tenaga Dia Yang Cukup Hebat ..."
Penyanyi Aina Abdul meluahkan rasa syukur selepas bergelar juara di program The Masked Singer Malaysia.
Menurut Aina, 27, dia tidak menjangkakan kerana tahu kesemua peserta sangat hebat.
"Saya masuk pertandingan ini sebab nak jadi sisi Aina yang lain. Kat luar sana saya seorang yang pemalu.
"Saya niat nak sampai ke peringkat akhir ja. Memang saya bersungguh untuk Bunga Raya kekal setiap minggu.
"Tetapi untuk menjadi juara tidak pernah terlintas di fikiran. Saya memang tak sangka sebab peserta yang lain pun hebat. Apapun, saya bersyukur sangat kerana rezeki berpihak kepada saya," katanya kepada Gempak.
Sementara itu, pelantun lagu Sumpah ini menjangkakan Rajah Brooke yang akan bergelar juara.
"Saya target Rajah Brooke yang menang. Dia sangat bagus. Walaupun saya tak pernah berborak tetapi saya boleh rasa tenaga dia yang cukup hebat.
"Bila saya jumpa dia nanti nak cakap tahniah sebab dia sentiasa buat pertandingan ini jadi lebih sukar. Jadi, timbul perasaan untuk bersaing antara kami. Good job, Rajah Brooke," katanya lagi.
Bunga Raya telah mengalahkan empat peserta lain iaitu Rajah Brooke, Orang Utan, Wau dan Enggang.
Datuk Aznil Haji Nawawi, Michael Ang, Raja Azura, Ella Aminuddin, Remy Ishak, Nabila Huda, Ramona Zam Zam dan Angah Raja Lawak memainkan peranan sebagai juri tetap.
Pelawak dan penyanyi Mark Adam dijemput sebagai juri jemputan bagi menggantikan Zizan Razak.
Di samping itu, Datuk AC Mizal yang merupakan pengacara tersohor menggalas tugas sebagai hos.
Program The Masked Singer Malaysia dimeriahkan lagi dengan siri Live+ yang akan dihoskan oleh Izzue Islam dan Elly Ariffin.
The Masked Singer Malaysia yang dibawakan oleh SK magic dan Oppo selaku penaja utama itu bersiaran menerusi saluran Astro Warna (CH127) dan Warna HD (CH107).
Program ini juga boleh distrim secara eksklusif melalui aplikasi Astro GO dan kemudahan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Must-Watch Video