Sekilas
- Nur Sajat menegaskan dia tiada kaitan dengan isu Rohingya yang sedang tular di Malaysia.
- Dia menjelaskan pengalaman yang dikongsi sebelum ini berkaitan tindakan JAIS terhadap dirinya, bukan kebencian terhadap Malaysia.
- Sajat berharap orang ramai berhenti mengaitkan namanya dengan isu tersebut dan menghormati keputusannya untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.
Pempengaruh media sosial, Nur Sajat memaklumkan bahawa dirinya tiada kaitan atau terlibat dalam kes rohingya yang sedang tular, baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di Threads, Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman memohon orang ramai untuk berhenti mengaitkan kisah silamnya dengan isu berkenaan.
"Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak ada kena-mengena dengan isu Rohingya yang sedang hangat diperkatakan di Malaysia ketika ini.
"Tolong jangan kaitkan nama saya, cerita hidup saya atau kes saya dengan isu tersebut.
"Ia adalah dua perkara yang berbeza dan tidak mempunyai sebarang hubungan.
"Saya juga tidak pernah memburukkan Malaysia. Malaysia ialah tanah tumpah darah saya,"tulisnya.
Jelasnya lagi, perkongsiannya sebelum ini hanyalah berdasarkan pengalaman dirinya berdepan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan bukanlah rasa benci terhadap negara asal usulnya.
"Apa yang pernah saya suarakan adalah berkaitan pengalaman dan situasi yang saya lalui sendiri, khususnya melibatkan tindakan JAIS terhadap saya ketika itu, bukan kebencian terhadap negara saya," ujarnya.
Menurut Sajat, dia sudah reda dengan perkara tersebut, malah pelantun lagu Bobo Di Mana itu ingin meneruskan kehidupannya seperti biasa dan meminta orang ramai untuk menghormati perkara tersebut.
"Saya dah lama move on dan meneruskan kehidupan saya. Jadi saya harap orang ramai juga dapat menghormati perkara tersebut dan berhenti mengheret nama saya ke dalam perdebatan yang langsung tidak melibatkan saya," katanya lagi.
Sumber: Threads