Sekilas
- Zehra Zambri berkongsi tentang perjalanan hidup dan kerjayanya yang penuh dengan kegagalan walaupun tidak pernah berhenti mencari peluang dalam dunia seni.
- Dia reda dengan ketentuan hidup walaupun menghadapi hinaan dan cabaran, serta mengakui luka yang dialami bukan mudah untuk dilalui.
- Zehra kini dalam fasa kritikal memerlukan pekerjaan untuk menyara anaknya dan terbuka menerima sebarang tawaran kerja demi kelangsungan hidup.
Penyanyi Zehra Zambri meluahkan perasaan mengenai perjalanan hidup dan kerjayanya yang disifatkan masih belum berpihak kepadanya.
Menerusi perkongsian di Threads, Zehra mengakui dirinya sering berdepan kegagalan walaupun tidak pernah berhenti mencari peluang dalam dunia seni.

“Siapa yang kenal tahu. Dari dulu saya memang jenis suka mencuba apa sahaja lapangan seni. Gali dan cari peluang yang ada, tapi setiap cubaan itu mesti berakhir dengan kegagalan.
“Memang takdir Zehra Zambri begitu hingga ke hari ini, masih belum beruntung. Dari kerjaya hingga ke pasangan hidup, lebih sakit bila kena pakej sekali dengan hinaan dan kejian manusia,” tulisnya.
Bagaimanapun, Zehra reda dengan segala ketentuan yang berlaku meskipun mengakui luka yang ditanggung bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui.
“Alhamdulillah saya reda. Saya masih mampu berdiri walaupun sudah luka parah,” tambahnya.
Sebelum ini, Zehra pernah mendedahkan dirinya berada dalam fasa kehidupan yang kritikal dan sangat memerlukan pekerjaan bagi menampung perbelanjaan harian.
Menurut Zehra, dia memerlukan sumber pendapatan yang stabil untuk menyara anaknya yang kini berusia tiga tahun.
Malah, penyanyi itu turut menyatakan keterbukaannya untuk menerima sebarang tawaran pekerjaan demi meneruskan kelangsungan hidup.
Sumber: Threads