Sekilas
- Sky Iskandar berkongsi bahawa wataknya sebagai Hakim dalam filem The Furious: Pertaruhan Maruah membuatkan dia terimbau kembali hubungan dan pengorbanan ibu tersayang.
- Filem ini mendapat sambutan positif dengan pujian terhadap gabungan aksi, emosi, dan lakonan para pelakon termasuk Zul Ariffin dan Sky Iskandar.
- The Furious: Pertaruhan Maruah mengisahkan dua beradik yang bersatu semula selepas maruah keluarga mereka tercalar, dan akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 28 Mei 2026.
Pelakon, Sky Iskandar mengakui wataknya sebagai Hakim dalam filem aksi The Furious: Pertaruhan Maruah telah membuka ruang buat dirinya mengimbau kembali hubungan bersama ibu tersayang.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Sky berkata naskhah itu memberi kesan emosi terhadap dirinya apabila jalan cerita yang dipersembahkan membuatkan dia terkenang kembali fasa tertentu dalam kehidupannya suatu ketika dahulu.
Malah kata Sky, pengalaman menjadi Hakim dalam filem itu secara tidak langsung membuatkan dia lebih memahami pengorbanan seorang ibu terhadap anak-anak.
“The Furious mengajarkan saya yang kasih sayang seorang ibu tiada batasnya, sama ada seorang anak itu sedar ataupun tidak.
“Aku pun pernah ada chapter itu dengan mak aku dulu haha. Tak sangka dapat mainkan balik perasaan tu dalam filem. Love you, ma,” coretnya.

Terdahulu, The Furious: Pertaruhan Maruah mula mencuri perhatian ramai selepas tayangan awalnya mendapat reaksi positif daripada penonton.
Rata-ratanya memuji gabungan aksi, emosi dan lakonan para pelakon dilihat berkesan selain mempunyai keserasian yang baik di layar perak.
The Furious: Pertaruhan Maruah menampilkan Zul Ariffin sebagai teraju utama bersama Sky Iskandar, Ikmal Amry, Sandra Lim, Zamarul Hisham dan Marisa Yasmin.
The Furious: Pertaruhan Maruah merupakan sebuah filem arahan Heng Aik Siong yang diterbitkan oleh ACT 2 Pictures bersama GSC Movies, Astro Shaw dan Sunstrong Entertainment.
Filem ini mengangkat kisah dua beradik yang kembali bersatu selepas maruah keluarga mereka tercalar apabila nama arwah bapa mereka dihina secara terbuka, sekaligus mencetuskan perjalanan penuh konflik antara maruah dan dendam.
The Furious: Pertaruhan Maruah dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 28 Mei 2026.