Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Bael0n Mahu Golongan Plus Size Bina Keyakinan Diri

Asraf Aided
22/09/2021 13:15 MYT
Penyanyi dan peserta All Together Now Malaysia (ATNMY) minggu kedua, Bael0n mahu menjadikan program itu sebagai batu loncatan untuk mencipta nama dalam dunia hiburan.

Menurut nama sebenar Nabil Izwan Norsaiful 'Adlan ini, dia juga mahu membuka jalan untuk golongan 'plus size' sepertinya membina keyakinan diri.

"Sejujurnya, saya menyertai ATNMY adalah untuk orang terima saya seadanya dan juga untuk mencipta nama dalam industri.

"Saya mahu mewarnai dan memeriahkan lagi industri muzik Malaysia supaya orang plus size macam saya akan lebih mendapat tempat, agar mereka dapat bina keyakinan diri," katanya kepada Gempak.

Tambah Bael0n yang terlibat dalam bidang tarian sebelum ini, dia akan terus menari selain menyanyi kerana mencintai kedua bidang tersebut.

"Saya bukanlah seorang penari tapi saya suka menari, untuk bidang nyanyian, Alhamdulillah saya sekarang sudah bergelar penyanyi.

"Saya tak akan lebihkan mana-mana, saya akan menyanyi dan menari, dua-dua sekali memang tak boleh tinggal," katanya.

Bercakap tentang dirinya yang baru memasuki industri hiburan, Bael0n yakin setiap penyanyi mempunyai gaya tersendiri. Justeru, dia akan berusaha mencipta identiti agar diminati ramai.

"Sebagai pendatang baru, memanglah mencabar untuk saya, tapi setiap penyanyi ada genre dan gaya tersendiri, dari situlah saya boleh hasilkan identiti sendiri agar orang menyokong saya.

"Saya rasa saya seorang penghibur yang mampu memukau penonton dengan aura saya, saya juga ada kemahiran menari, semoga orang boleh menerima saya seadanya," katanya menutup bicara.

Terdahulu, Bael0n yang bernaung di bawah label Sony Music Entertainment Malaysia pernah tampil dengan single Gedik dan nyanyian semula lagu Amelina berjudul Rindu.

Februari tahun lalu, Bael0n juga pernah tampil menari di pentas persembahan Wani Kayrie & Delitz bersama Afieq Syazwan di konsert akhir program tersebut.

#All Together Now Malaysia #ATNMY #Bael0n