Penyanyi muda, Masya Masyitah menjalin kerjasama dengan tiga orang jejaka iaitu Omar K, Blaine Bakri dan John Jeevasingham.

Semuanya demi single terbaru bekas juara Ceria Popstars 2014 yang berjudul Halimunan.

Bernaung di bawah syarikat Rocketfuel Entertainment, Masya berani menampilkan kelainan menerusi single berirama pop.

Sebelum ini, Masya pernah muncul dengan single balada berjudul Teman Bintang pada tahun 2014 dan Mawar Terbiar pada penghujung 2017.

“Mungkin masih ramai lagi yang tidak berapa mengenali Masya tetapi kita di Rocketfuel percaya pada bakat yang ada pada beliau dan kita akan bersama-sama berusaha untuk terus menaikkan Masya.

“Masya mempunyai kekuatan dalam vokal di tambah lagi beliau fasih dalam menyanyikan lagu bahasa Mandarin sudah semestinya menjadi pakej yang terbaik. Jadi saya berharap agar pencinta muzik akan terus memberikan Masya ruang dan sokongan padu,” kata Feros selaku Ketua Label Muzik, Rocketfuel Records.

Lagu ‘Halimunan’ boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman di atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music.

Video lirik dan muzik lagu ‘Halimunan’ ini juga boleh di tonton di saluran YouTube Rocketfuel Network.