Penerbit sensasi, Datuk A Aida mengesahkan sudah berpisah dengan pelakon Ariff Aziz dengan talak satu selepas 10 bulan mendirikan rumah tangga.

A Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang, 48, dan Ariff atau nama sebenarnya, Wan Izma Ariff Abd Aziz, 30, berpisah dengan baik di Mahkamah Rendah Syariah, Gombak Timur pada 25 April lalu.

Dalam satu sidang media yang diadakan oleh A Aida di Hotel Concorde, Kuala Lumpur sebentar tadi, penerbit itu menjelaskan perpisahan adalah jalan terbaik untuk mereka selepas persefahaman tidak wujud dalam perhubungan.

"Jodoh saya dan dia hanya sampai di sini sahaja. Penceraian sudah difailkan semenjak 4 April lalu di bawah seksyen 47, meminta kebenaran mahkamah untuk bercerai secara baik.

“Seterusnya, saya dan Ariff sah bercerai pada 25 April lepas di Mahkamah Syariah Gombak Timur," katanya.

Kata A Aida, dia sudah tidak tinggal sebumbung dengan Ariff semenjak 21 Mac lalu.

Menurut penerbit drama bersiri Andainya Takdir itu lagi, dia reda dengan ketentuan Allah biarpun sudah empat kali bergelar janda.

“Semuanya telah tertulis. Saya reda dengan ketentuan ini. Siapa yang mahu mendirikan rumah tangga dan kemudiannya mahu berpisah atau bercerai berai?

"Apapun, saya tak mahu mendedahkan punca bercerai atau membuka mulut mengenai apa yang terjadi. Selepas berpisah, saya rasa lebih tenang dan bahagia," katanya lagi.

A Aida dan Ariff mula mengenali hati budi masing-masing semenjak 2015 ketika menjalinkan kerjasama dalam beberapa projek drama terbitan syarikat produksi A Aida, A Aida Productions.

Mereka bernikah pada 21 Julai 2018 dengan mas kahwin sebanyak RM300 dan wang hantaran bernilai RM20,000.

Ini adalah perkahwinan keempat buat A Aida. Sebelum ini, A Aida pernah melalui episod duka perkahwinan dengan Ameng Spring dan dua individu lain.