Akhir-akhir ini, sudah menjadi lumrah bagi pasangan teraju utama sesebuah drama dan filem untuk digosipkan.

Perkara yang sama turut terjadi kepada Kamal Adli dan Uqasha Senrose yang sedang membintangi drama bersiri Setelah Terlafaznya Akad (STA).

Gandingan mesra di skrin ternyata menjadi apabila ada peminat menyuarakan hasrat untuk melihat mereka bercinta.

Senang bekerjasama dengan Uqasha, Kamal gembira kerana keserasian mereka membuatkan peminat terhibur.

"Alhamdulillah, keserasian kami menyerlah dan saya rasa terharu apabila menerima maklum balas positif.

"Sangat senang apabila dapat bekerjasama dengan Uqasha. Dia seorang yang sangat profesional dan teman lakonan yang baik.

"Cinta hanya wujud di skrin sahaja. Ada peminat yang gemar melihat kami bercinta tetapi semuanya atas dasar kerja.

"Saya boleh katakan, keserasian memang sangat mudah untuk kami cipta kerana jalan cerita STA sendiri sudah kuat.

"Uqasha memberikan komitmen yang baik dalam STA dan saya gembira kerana lakonan kami menjadi perhatian peminat drama," katanya.

turn hanan nak manja laaa ? #setelahterlafaznyaakad

A post shared by K.A (@kamaladli) on


Tambah Kamal, penggambaran yang berlangsung selama lima bulan juga membuatkan semua krew mempunyai hubungan baik bagaikan satu keluarga besar.

"Sepatutnya, drama ini menjalani penggambaran selama tiga bulan. Tetapi, atas sebab yang tak dapat dielakkan, ia berlarutan sehingga lima bulan.

"Bayangkan, lima bulan berada di set yang sama membuatkan kami sudah rapat bagaikan keluarga.

"Saya juga menaruh harapan terhadap STA kerana sudah lama saya tak muncul dalam slot Megadrama.

"Kali terakhir saya muncul dalam slot ini ialah menerusi drama bersiri Duda Pujaan Dara yang menggandingkan saya bersama Zahirah Macwilson sekitar tahun 2017," katanya lagi.

Karya arahan pengarah prolifik Michael Ang ini merupakan adaptasi novel judul sama karya hebat penulis Ana Milia.

Selain Kamal dan Uqasha, drama bersiri ini turut dibintangi oleh Zul Helmy, Zeera Azizi, Alif Muhaimin, Erwin Dawson, Sharifah Shahora dan ramai lagi.

Jangan lupa saksikan drama bersiri Setelah Terlafaznya Akad setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Gunakan hashtag #SetelahTerlafaznyaAkad untuk berinteraksi mengenai drama bersiri ini di laman sosial anda!