Bintang Akademi Fantasia musim kedua (AF2) Farah Diana Anuar, menyatakan keinginan untuk kembali semula ke lapangan seni suara menerusi single terbaharu yang masih dalam perbincangan.

Jelas Farah, dia mendapatkan khidmat Hazama dan Akim untuk mencari lagu yang bersesuaian dengan peredaran muzik semasa.

"Saya ada menggunakan 'talian hayat' untuk mendapatkan lagu terbaharu daripada Hazama memandangkan adik saya berkerja dengannya. Selain itu, ada juga berbincang dengan Akim.

"Saya suka dengar muzik sekarang sebab ada antara lagu yang berkisarkan lirik ketuhanan tetapi bersifat universal. Jadi kita boleh dengar dan tafsirkan maknanya dalam banyak keadaan.

"Malah, lagu-lagu sekarang pun sudah kembali ke muzik yang tangkap leleh seperti suatu ketika dahulu. Itu bermakna muzik sebegitu masih relevan," katanya kepada Gempak.

Farah ditemui pada majlis pelancaran butik baharu Minaz di Sogo Kuala Lumpur baru-baru ini akui dia perlu kembali mempersiapkan diri seandainya mahu kembali menyanyi.

"Ada juga saya berhubung dengan Idayu dan Misha Omar untuk mendapatkan nasihat daripada segi teknik nyanyian dan vokal. Malah sebagai peminat Ernie Zakri, saya ada juga berbincang dengannya.

"Memandangkan sudah lama tidak menyanyi, saya akui suara kita perlu dilatih semula untuk kembali ke landasan yang betul," ujarnya yang pernah tampil dengan lagu gubahan semula Sehati Sejiwa untuk runut bunyi filem Pencuri Hati Mr. Cinderella.

Dalam pada itu, pelantun lagu Tangisan Dalam Kerinduan itu akui tidak gentar untuk bersaing dengan penyanyi generasi muda memandangkan lumrah persaingan itu pernah dilaluinya sejak menyertai Akademi Fantasia lagi.

"Dulu pun bersaing secara sihat juga dengan semua peserta AF, kemudian ada lagi musim baharu dan program realiti baharu lagu.

"Yang pasti jangan ego dan berbaik-baik dengan generasi baharu sebab mereka tahu apa kehendak khalayak sekarang. Banyakkan bertanya," tambah Farah.

Selain terbabit dalam pengacaraan dan nyanyian untuk badan korporat, Farah kini mengisi aktiviti harian bersama dua cahaya mata perempuan yang berusia empat dan tujuh tahun.