Penyanyi baru, Amir Hasan mengakui banyak belajar dari program Big Stage 2019 biarpun tidak menyertainya.

Menurut Amir, dia melihat program terbabit sebagai salah satu platform untuk mengembangkan bakat sebagai seorang penyanyi.

"Saya menghadiri sesi ujibakat untuk menyertai Big Stage 2019, tetapi saya tidak terpilih untuk ke peringkat 12 peserta akhir. Bukan rezeki saya untuk menyertai mereka. Tetapi, saya sendiri mengikuti program itu setiap minggu.

"Walaupun tak berpeluang untuk menyertainya, saya banyak belajar melihat rakan-rakan yang bertanding. Bagaimana mereka bertanding, bagaimana mereka bersaing dan mempersembahkan tugasan setiap minggu.. Saya dapat ilmu dari apa yang saya lihat saban minggu.

"Biarpun tak masuk, saya dapat ilmu baru dari apa yang saya tonton. Jika berpeluang untuk menyertai Big Stage di musim yang akan datang, semestinya saya akan mengambil peluang itu dan melakukannya dengan bersungguh-sungguh," katanya.

Bercerita mengenai perkembangan terbarunya, Amir sedang mencari material untuk mengeluarkan single baru pada hujung tahun ini.


"Single kedua saya, GYKT (Gadis Yang Ku Tunggu) tidak mendapat sambutan seperti single pertama, Bicaramu. Namun begitu, saya tak pernah berputus asa dan akan terus berusaha. Setiap hari merupakan proses pembelajaran untuk saya.

"Saya dalam perancangan untuk keluar dengan single ketiga.Saya sedang mencari lagu yang benar-benar boleh memberi impak. Memandangkan usia penglibatan saya dalam bidang hiburan akan memasuki usia dua tahun, saya akan berusaha dengan lebih keras untuk memberikan yang terbaik kepada peminat," katanya lagi.



Dalam perkembangan lain, Amir bakal membuat persembahan istimewa bersempena Celcom XPAX Kejohanan E-Sukan Kampus Zon Tengah anjuran MPD yang bakal berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini di Dewan Berlian, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam, Selangor.

Selain Amir, penyanyi lain seperti Wany Hasrita, Nabila Razali, Haqiem Rusli dan Muna Shahirah akan turut menghiburkan penonton dalam satu konsert mini.

Dalam pada itu, konsert akhir Big Stage 2019 bakal berlangsung pada Ahad, 6 Oktober ini.

Dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Alhadad, Big Stage 2019 dibawakan kepada anda oleh VIVO dan Perodua selaku penaja utama dan Farm Fresh selaku penaja bersama.

Saksikan saingan antara Han Byul, Neeta, Irfan Haris, Dinda Permata dan Adzrin di konsert akhir Big Stage 2019 pada Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Personaliti radio ERA, Radin bersama alumni Big Stage musim pertama, Sissy Imann mengacarakan Big Stage Live Plus yang disiarkan serentak sewaktu berlangsungnya konsert mingguan di platform digital.

Layari laman web bigstage.gempak.com untuk segala informasi mengenai program ini!