Pelakon Risteena Munim dan Isa Khan mengumumkan telah selamat bertunang 23 November lalu.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu majlis kejutan yang diadakan di Bora Ombak, Putrajaya pada Jumaat.

Pada majlis sama, pasangan itu turut menayangkan sepotong video khas ketika sesi lamaran Isa pada Risteena yang berlangsung di Bali, Indonesia pada tarikh terbabit.

"Walaupun orang cuba meracuni fikiran awak mengenai diri saya tetapi awak tetap setia dan percaya pada saya.

"Saya tak tuduh sesiapa. Tapi saya tahu ada beberapa pihak yang cuba meracuni fikiran Risteena," kata Isa.

Sementara itu, pasangan itu menjelaskan punca mereka merahsiakan hubungan yang terjalin sejak beberapa bulan lalu kerana risaukan tanggapan orang luar yang tidak tahu akan situasi sebenar mereka lalui.

"Kami nak kena jaga hati beberapa pihak juga dan kami memilih untuk tidak heboh-heboh kerana orang tak faham keadaan kami.

"Apa yang saya alami dalam hidup saya, biarlah saya seorang saja yang tahu," tambah Risteena.

Pada majlis yang dihadiri oleh keluarga dan sahabat terdekat itu, Risteena turut meraikan ulangtahun kelahirannya yang jatuh pada 19 November lalu.

Khabar angin mengenai hubungan Isa, 26, dan Risteena, 30, mula menjadi perbualan hangat peminat apabila kakak kepada pelakon Ruhainies itu memuat naik video pendek di Instagram yang memperlihatkan dia disuap oleh seorang lelaki.

Dia juga pernah berkongsi gambar seorang lelaki bertopi dan berbaju hitam disebalik sejambak bunga.

Menerusi foto tersebut, netizen mula membuat andaian bahawa individu dalam gambar tersebut adalah Isa.

Namun, kedua-duanya hanya berdiam diri dan tidak pernah mengulas mengenai spekulasi yang timbul.

Pasangan itu pernah digandingkan bersama dalam sebuah drama rantaian Bulan Di Kota Langit yang menjalani penggambaran di Indonesia.

Risteena sepatutnya bertunang bersama pelakon Ikhwan Khairudin, 29, pada 19 Oktober lalu hubungan mereka putus di tengah jalan.