Tan Sri Muhyiddin Yassin secara rasmi dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sekali gus mengakhiri kemelut politik yang berlangsung hampir seminggu hari ini.

Keputusan itu dicapai selepas ketua-ketua parti politik dan Ahli Dewan Rakyat bebas mengemukakan nama calon Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong.

Berikut adalah latar belakang ringkas mengenai sosok yang berasal dari Johor ini:

KELUARGA DAN PENDIDIKAN AWAL

Dilahirkan pada 15 Mei 1947, di Muar, bapa Muhyiddin iaitu Muhammad Yassin Muhammad, ialah seorang ulama yang amat dikenali di Bandar Maharani, Muar, sementara ibunya ialah Khadijah Kassim.

Menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Maharani, Muar dan Sekolah Kebangsaan Ismail, Muar, Muhyiddin seterusnya ke Sekolah Tinggi Muar.

Muhyiddin telah menyambung pengajian di pertingkat tinggi di Universiti Malaya, Kuala Lumpur hingga berjaya memperoleh Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi dan Pengajian Melayu pada tahun 1971.

Sejurus memperoleh ijazahnya, suami kepada Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, dan juga bapa kepada empat orang anak itu, berkhidmat sebagai penjawat awam dan banyak memegang jawatan di pelbagai syarikat milik kerajaan negeri.

LANGKAH MULA DALAM POLITIK

Penglibatan awal dalam politik bermula sejak menyertai UMNO sebagai ahli biasa di bahagian Pagoh pada tahun 1971. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO Pagoh seterusnya Setiausaha di bahagian itu pada 1976.

Pada tahun 1978, beliau dilantik sebagai Ahli Parlimen Pagoh. Sepanjang menjalankan khidmat sebagai Ahli Parlimen, Muhyiddin pernah dilantik sebagai Setiausaha Parlimen kepada Kementerian Hal Ehwal Luar, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan seterusnya Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri.

PORTFOLIO DALAM POLITIK

Sejak dilantik sebagai Ketua UMNO Bahagian Pagoh pada 1984, laluan politiknya dalam UMNO Johor semakin meningkat – daripada menjadi Ahli Majlis Eksekutif negeri, hinggalah menjadi Ketua UMNO Johor seterusnya Menteri Besar Johor dari 1986 hingga 1995.

Muhyiddin juga pernah memegang portfolio penting di peringkat Persekutuan iaitu sebagai Menteri Belia dan Sukan (1995–1999), Menteri Perdagangan Tempatan dan Hal Ehwal (1999–2004), Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (2004–2008) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (2008–2009).

Pada tahun 2009, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

PERJALANAN BERSAMA BERSATU

Pada Ogos 2016, Muhyiddin mendaftarkan parti politik baharu iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad. Muhyiddin menjadi Presiden parti itu sementara Tun Dr Mahathir bertindak sebagai Pengerusi.

Ketika itu juga Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden Pakatan Harapan.

MENUJU JAWATAN PM-8

Pada 24 Februari lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerima peletakan jawatan tersebut, tetapi kemudian berkenan melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim, sementara menunggu pelantikan perdana menteri baharu.

Bagi tujuan itu, Yang di-Pertuan Agong menitahkan seramai 221 Ahli Parlimen untuk menghadap Baginda pada 25 dan 26 Februari bagi memaklumkan siapa calon Perdana Menteri pilihan mereka.

Bagaimanapun, selepas selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Dr Mahathir mengesahkan bahawa Yang di-Pertuan Agong mendapati tiada calon pilihan majoriti yang mampu diangkat sebagai Perdana Menteri seterusnya.

Justeru, pada 28 Februari pula, pihak Istana Negara memaklumkan akan menghubungi Ketua-ketua pimpinan parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat, bagi memberi peluang kepada mereka untuk mengemukakan pencalonan nama Ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri ke-8.

Dalam pencalonan itu, Muhyiddin dilaporkan mendapat pencalonan tertinggi mendahului kiraan sokongan ahli Parlimen untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8.

Sokongan itu diterjemah melalui sokongan sejumlah 97 ahli Parlimen daripada enam parti, iaitu Bersatu (36), UMNO (39), Pas (18), MCA (2), MIC (1) dan PBRS (1).

Pada pagi 29 Februari, Muhyiddin mengesahkan mengetuai Perikatan Nasional ke Istana Negara bagi mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Pada kira-kira jam 4.40 petang, Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan selaras dengan Perkara 402(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.




Sumber: Astro Awani