Pernah tampil dengan beberapa lagu sebelum ini, Sandra Dianne kini tampil dengan single terbarunya yang berjudul Tulus.

Single terbarunya kali ini menampilkan kelainan dari segi penyampaian emosi can cara nyanyian yang lebih berat dan matang.

Tulus merupakan hasil ciptaan Sandra sendiri bersama Apex CZ dan ternyata membawa dimensi berbeza dalam industri muzik tempatan. Susunan muzik lagu ini juga mampu memberi kepuasan kepada halwa telinga.

Sebelum ini, lontaran vokal Sandra kedengaran lebih lantang, namun dalam single Tulus, dia bereksperimen dengan nada suara yang lembut dan merdu.

Menurut Sandra, penceritaan dalam lagu tersebut tiada kaitan dengan kisah hidupnya secara peribadi, namun dia amat berpuas hati dengan hasil akhir penghasilan taruhan terbarunya itu.

"Sebenarnya, saya tak sangka lagu ini telah disiapkan kerana ilham untuk menghasilkankannya datang secara tiba-tiba.

"Saya menulis lagu ini pada tahun lalu sewaktu sedang bersendirian di rumah, niat saya menulisnya adalah untuk didengar di peringkat umum dan tiada kaitan dengan kisah hidup saya," kata Sandra.

Single Tulus boleh dimuat turun di iTunes dan stream menerusi semua portal muzik terpilih antaranya Apple Music, Spotify, Deezer, JOOX Music dan KKBox.