Pelakon Datin Diana Danielle berkongsi satu kicauan di laman Twitter yang membangkitkan persoalan netizen.

Menerusi laman sosial terbabit, Diana meragui kredibiliti seseorang yang mewakili suara rakyat di Bagan Serai, Perak.

“Saya sebenarnya marah, saya dari Bagan Serai. Saya fikir ini adalah keputusan yang paling tidak bertanggungjawab untuk membenarkan orang yang berpengaruh/ mencari perhatian untuk menjadi suara rakyat.

“Adakah dia tahu betapa besar tanggungjawabnya? Apa kelayakannya? Ini bukan jenaka.“Saya mempersoalkannya, anda memerlukan seseorang yang lebih berat menjadi wakil rakyat,” tulisnya menerusi satu kicauan.

Biarpun Diana tidak menyebut sebarang nama, ramai netizen yang mengandaikan pelakon itu menujukan tweet terbabit kepada selebriti media sosial, King Coco yang memenangi jawatan Ketua Srikandi Bersatu mewakili kawasan Bagan Serai, Perak.

Pada Rabu, King Coco atau nama sebenarnya Marshaira Ismail, 22, memenangi jawatan terbabit selepas menewaskan dua calon lain dengan 62 undi.

Hasil tinjauan Gempak di ruangan Twitter, ramai yang menyokong pendapat Diana itu dengan menyatakan tidak wajar memilih seseorang hanya berdasarkan populariti.

“Saya bukan dari Bagan Serai tapi saya percaya ambil instafamous (bukan sahaja King Coco) menyertai politik hanya akan menjadikan dunia politik Malaysia bertambah teruk,” luah seorang wargamaya.

“Setuju! Stay in your lane. Kalau nak masuk pun, tunggu lah sekurang-kurangnya awak matang, berpandangan luas dan ada pengalaman,” ujar seorang wargamaya.

“Saya pernah bekerja di Bagan Serai dua tahun lepas. Orang Bagan Serai perlukan seseorang yang lebih berpendidikan untuk mewakili suara dan keperluan mereka,” tegas seorang wargamaya.

Sehingga kini, kicauan daripada isteri pelakon Farid Kamil itu telah mendapat hampir 2,500 ulang kicau dan 3,000 tanda suka daripada warga Twitter.