Sejumlah empat kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam yang lalu sekali gus menjadikan 14 kematian direkodkan di negara ini, lapor Astro AWANI.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kematian tersebut melibatkan masing-masing satu di Kuala Lumpur dan Johor serta dua di Sarawak.

Dalam masa sama Dr Noor Hisham memaklumkan, 212 kes baharu telah dilaporkan sepanjang tempoh 24 jam lalu sekali gus menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 1,518 kes.



Berikut perincian empat kematian yang direkodkan sepanjang 24 jam yang lalu:

• Kes kematian ke-11 merupakan kes ke-1,070 merupakan seorang lelaki berumur 70 tahun dan warganegara Malaysia. Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan dirawat di ICU Hospital Canselor Tuanku Muhriz. Beliau disahkan meninggal dunia pada 22 Mac 2020.

• Kes kematian ke-12 merupakan kes ke-1,114 juga seorang lelaki, rakyat tempatan yang berumur 70 tahun. Allahyarham merupakan jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Jamek Sri Petaling dan dirawat di Hospital Kluang, Johor. Beliau disahkan meninggal dunia pada 23 Mac 2020.

• Kes kematian ke-13 merupakan kes ke-1,006 berumur 49 tahun lelaki warganegara Malaysia. Beliau yang dirawat di Hospital Umum Sarawak merupakan anak kepada kes ke1031. Beliau disahkan meninggal dunia pada 23 Mac 2020.

• Kes kematian ke-14 pula merupakan kes ke-595 iaitu seorang wanita tempatan berumur 51 tahun. Beliau merupakan kontak rapat dengan kes positif COVID-19 dari kluster tabligh dan dirawat di Hospital Miri. Beliau disahkan meninggal dunia pada 23 Mac 2020.

Selain itu, terdapat 20 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini yang menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 159 kes.

Sumber: Astro AWANI